Monday 1 July 2024

 

PROLOG

Selamat Datang, Rose!


BUNGA ROS Inggeris di tepi dinding, berbunga lebat. Memercik. Warnanya yang sepatutnya merah jambu muda itu selalunya bertukar jadi putih. Agaknya kurang bajakah? Atau kurang kasih sayang...?

Di halaman rumah sewa dua tingkat ini, bunga ros tanpa duri selalu menjadi bunga kesayangan bude. Sejak paman pergi, inilah antara ikatan yang menghubungkan bude kepada paman; serta masa lalu mereka yang warna-warni. Yalah, mereka berdua tidak sempat tua bersama.

Hari ini 18 April, dan sepatutnya ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-28. Tidak seperti tahun-tahun akhir hidup mereka, tahun ini bude bermusafir dan bercuti dengan teman-temannya. Cuma kali ini, pada tarikh itu bude berdiri di depan taman kecil mereka. Ada hadiah yang sangat indah menunggu bude hari ini. Hadiah seindah dan sewangi bunga mawar Inggeris, barangkali!  

Bude tanpa paman – bagai bulan tidak ditemani bintang. Bulannya tentulah bude: gebu-gebas, bulat dan besar comel. Yang tertinggal kepadanya tentulah taman kecil ini! Taman dengan bunga-bunga yang hanya beberapa buah pasu cuma: cempaka telur, melur dan mawar.

Taman paman, lebih banyak diserikan dengan pokok pasu berdaun hijau – lebar, kecil, halus, besar dan pelbagai. Oh ya, di sampingnya ada juga sepohon lemon yang baru berbuah kecil; rumpun-rumpun nanas yang selepas dua tahun baru berbuah; mahkota dewa berbuah merah yang kata orang bijinya ubat sementara luarnya racun; pokok mulberi yang manis buahnya kala hitam ia ranum; sepasu pokok teh Cameron Highlands serta buah tin warna ungu yang masam rasanya.

Semuanya ditanam dalam pasu, berbaris-baris ikut suka hati!

Pagar depan yang dipisahkan dengan tanaman pokok sepit udang dua warna – kuning-jingga dan merah, telah sembunyikan taman ini daripada pandangan orang, tentunya. Aduhai, kala hujan turun, cantik juga taman tanpa tuan ini.

Benar...

Apa-apa yang paman tanam memanglah cantik pada pandangan bude. Kononnya, tangan bude ini panas – apa-apa yang bude tanam akan kering tak bertunas! Bukan semua orang pandai bercucuk tanam, begitulah kata bude memberi alasan setiap kali dia malas berkebun. Namun sejak paman pergi, mahu tak mahu... suka tak suka... bude harus mencurah kasih pada taman kecil ini. Taman ‘pusaka’ yang dibina dengan kasih sayang.

“Kak Uya, kakak dengar macam ada bunyi anak kucing duk iau-iau belah-belah sana tu.” Adik sepupu bude yang baru berkahwin berkata sebelum menghidupkan enjin kereta. Suaminya sudah ke pejabat. Sang pengantin baharu itu tinggal di rumah ini, sementara berpindah ke rumah sewa sendiri.

Kawasan ini memang banyak kucing! Sering pula penghuni yang tidak suka pada kehadiran kucing, kompelin dengan populasi kucing jalanan yang semakin banyak. Puncanya, ada ramai penghuni yang suka memberi makan kepada kucing – menjadikan Lorong 7N ini, tempat kucing gelandangan mesyuarat, memandu kasih, bersembunyi, berlindung, bercakaran.

Bude sendiri tidak membela kucing. Kalau kucing Aunty Mariah – Si Edgar dan Si Mirul – datang, bude langsung tak ada makanan untuk diberikan.

Kucing bukan haiwan kesayangan bude. Suka tengok tetapi bukannya untuk jadi haiwan kesayangan. Sepanjang hidup dengan paman, rasanya adalah sekali dua mereka membela kucing. Itu pun tidak lama. Si Koko yang sakit buasir sehingga terkeluar ususnya itu, doktor haiwan cadangkan ‘dimatikan’ setelah dua kali dirawat pun tidak berjaya. Mereka tinggal Koko di klinik haiwan seperti yang disarankan – dan jasad Koko klinik yang uruskan.

Kemudian ada pula anak-anak kucing angkat Si Kabu dan Si Keanu – itu pun ditinggalkan, tidak pernah diambil-ambil di rumah Mak Lang Fidzah dan Pak Lang Boy.

Pernah, beberapa bulan sebelum paman pergi pun, bude nyatakan hasrat hendak bela kucing. Lama berfikir, paman memberi syaratnya. Syaratnya, bude mesti urus dari A-Z. Dan bude pasti, bude tidak mampu mengurusnya bersendirian. Selama ini pun, paman yang urus banyak hal dalam rumah ini.

Bude mencapai hos membuka pancur air untuk menjurus taman kecil sekangkang kera ini. Tiba-tiba bunyi iau itu semakin kuat. Setiap kali air deras menyentuh bunga ros Inggeris tu, bunyi anak kucing menangis bergema lagi... dan bergema lagi.

Bude hentikan air dan menuju ke pasu tanpa tanah sebelah bunga ros Inggeris tu.

Masya-Allah...

Di dalamnya bude nampak Rose untuk pertama kalinya. Kecil dengan kelopak mata bersalut nanah, membengkak dan bulat bagai bola itu boleh pecah – bila-bila masa. Kecil tidak berdaya. Berdiri dengan dua kaki lagi memegang pasu kosong itu, mengharap simpati. Dia terkurung di situ, entah sejak bila. Kelaparan barangkali. Badannya yang hitam seluruhnya itu kuyup dimandikan bude pagi itu.

Mereka saling berpandangan sejenak....

Hai, Rose!