Abang Mat Dobi Penang Yellow Bus
oleh: Noor Suraya
(i)
“Hesy,
hari ni Kak Cik kita lukis
peta Papua New Guinea pula,” usik abang konduktor bas pada Mahirah yang sudah
kelam-kabut bagai tak cukup tangan menekan loceng Penang Yellow Bus. Sah,
drebar India ni akan bawa dia lari sehinggakan ke Taman Pekaka ni. Sudahlah
jauh hendak berpatah balik jalan kaki ke USM, kelas pula pukul 9 tepat-tepat. Tak boleh lewat seminit pun. Fuh, Dr. Dona tentunya leter panjang
punya. Mahirah mengelap air liur basi pada jendela bas dengan sapu tangan biru
muda.
Geram sungguh!
Wajah abang konduktor itu dia jeling tajam. Biar tertusuk
macam kena selumbar. Awat la kalau dia tertidur dalam bas, mesti konduktor yang
bertugas abang ini? Awat la kalau dia tertidur dalam bas, mesti dia buat mural
pada kaca jendela bas berdebu ni?
Hesy!
Bukannya dia rajin sangat nak bagi khidmat bakti pada bas
yang bawa macam dikejar puaka ni, tapi sebenarnya dia jadi bimbang pada abang
konduktor bas ni.
Sebab?
Sebab, beberapa minggu sudah dia pernah mengusik Mahirah:
Hati-hati kalau tertinggal air liur basi dalam
bas, nanti Abang Mat ambil bawa pi bomoh Siam, Kak Cik kita ini terus ikut
Abang Mat jumpa Tok Kadi kat Balik Pulau tu.
Bukan main abang konduktor ini yakin diri. Macam la Mai akan
mudah-mudah ikut orang tak ketahuan macam dia ni jumpa Tok Kadi pula. Namun
rasa gerun itu ada juga, sebab itu Mai akan cuci air liur basi pada kaca
jendela bas ini bersih-bersih setiap kali dia meninggalkan Bas Kuning ini.
Yalah, untuk jadi isteri abang konduktor ni, umi akan
pengsan seratus kali. Walid bukannya orang biasa-biasa di Sungai Petani,
kenalan walid segala Dato’- Datin, Tengku-Raja, MB pun walid kenal. Jadi
Mahirah tak boleh jatuh hati pada sembarangan orang! Apatah lagi membiarkan
dirinya kena bomoh dengan abang konduktor bas, tiga suku masak ini!
Aduhai, abang selekeh ni merenung dia lagi. Pada
celah-celah jari terselit tiket-tiket bas yang dia sudah kacip untuk pelanggan.
Pandai sahaja dia teka penumpang dia nak pergi mana, buatnya ramalan dia salah
– padan muka nak bayar semua tiket yang dia kacip tu.
“Mamu,” jerit dia dari belakang.
“Ini ada USM satu, mamu tertinggal minaci ni tadi.” Seluruh isi bas memandang ke belakang. Muka
Mahirah sudah bera. Abang ni dah nak kena ni, rungut Mahirah dalam hati.
Benci la.
* * *
“Peta Sri
Langka bukan sepatutnya bujur macam buah mempelam Siam ka? Bukannya bulat macam
ni kan, Kak Cik?” soal lelaki yang Mahirah geram tu semula. Dia pura-pura
serius dengan soalan dia. Dialah pandai Geografi, hafal semua peta. Kerja pun
konduktor bas, berlagak macam pensyarah pula. Tak suka la.
Setiap pagi
Selasa dia akan jumpa mamat tak reti
duduk diam ni. Kalau dia tak menyanyi lagu Alleycats terlolong-lolong; dia akan
berborak kuat-kuat dengan drebar – dari cerita politik sampai gosip artis.
Kalau dia tak mengusik Mahirah, dia usik kakak-kakak yang terlepas bas kilang dan
kena nak Bas Kuning ni. Tak ada kerja, barangkali. Duduk dalam bas elok-elok
tak boleh ka? Selawat zikir ka pun dapat pahala, paling-paling menyanyi nasyid
Al-Jawaher ka!
“Kak Cik
jangan mengata dekat saya, saya reti baca hati orang ni.” Katanya sambil
tersenyum manis. Mahirah tarik muka – kelat. Meluat.
“Mahirah, abang
konduktor ni, kalau kita dobi sana
sini sikit, kacaklah juga. Bolehlah, sesuai saja dengan Mahirah,” usik Wan Rashidah
hari tu. Kebetulan mereka ke KOMTAR hari Jumaat baru-baru ni, dan Mahirah
tunjuk drebar bas yang dia paling benci tu. Waktu bas melalui Jalan Prangin
Road, dia naik ganti kawan dia la pula. Agaknya baru balik solat Jumaat dekat
Masjid Jamek Simpang Lima dekat Komtar tu. Muka bersih dengan kopiah ala-ala
Hail Amir sambut hari raya saja.
Dobi?
Mahirah
tersenyum pada dirinya, dia akan gelar abang konduktor ni sebagai Mat Dobi.
Selama satu semester ni, kalau tiap-tiap minggu dia balik ke rumahnya di Sungai
Petani, tentunya pagi Selasa dia akan menghadap Mat Dobi ni. Suka, tak suka
itulah hakikatnya kalau dia tak boleh lepaskan hobi balik kampung dan datang
balik ke kampus pada hari-hari ada kelas sahaja. Belajar dalam tahun empat ni,
bukannya ada kelas hari-hari pun. Seminggu tiga kali sahaja. Cuma pagi Selasa
ada kelas Dr. Dona. Kelas wajib sekiranya pelajar tidak mahu ambil kerja kursus
penulisan tesis. Kelas tu lapan jam kredit. Panjang dan memenatkan, dan
pensyarahnya garang sangat.
“Senyum manis,
aih, Kak Cik kita ni.” Katanya,
sambil berlalu ke depan. Bila pula aku senyum dekat dia, mengada-ada. Aku
senyum fasal Wan Rashidah panggil dia Mat Dobi. Setiap minggu dia akan
bercerita fasal Mat Dobi yang sewel ni pada Wan Rashidah. Tapi kata Rashidah,
jaga-jaga Mahirah antara benci dan rindu itu hanya dipisahkan dengan seutas
benang halus. Jangan benci orang sangat-sangat.
“Mamu, USM
satu hari ni. Penumpang kita bagus hari ni, belum sampai Gelugor pun dia dah
bangun.” Katanya sambil duduk di tangga bas, dan Bas No. 69 berlari laju.
Mahirah rasa hendak mencekik sahaja Mat Dobi yang rambutnya hitam ikal separas
tengkuk itu.
Ada ubi ada
batas, ada hari Mai balas!
* * *
[Bersambung...2]
Wah.... dah ada rumah baru rupanya... baca kisah mat dobi ni memang boleh mengimbau kenangan lama. Dulu saya pun ada kena kacau dengan mat konduktor ni sampai saya nangis sebab dia asyik le ngusik malahan laju je duduk sebelah saya bila org sebelah saya dah turun kunun nak memikat. Sampaikan saya terpaksa bagi signal tanda PERANG DUNIA ke 3 dengan dia barulah dia tak berani nak ngusik lagi.
ReplyDeleteAdegan tak boleh di kenang bila baru balik dari pasar beli tembikai, terpaksa duduk tempat belakang sebab depan dah penuh. Letak buah kat bawah sebelah hujung kaki, sekali sedang bas berjalan tiba-tiba dia brek sebab nak berhenti, buah tembikai saya tiba-tiba meluncur dengan lajunya ke depan. Saya pun mengejar bagai nak rak, nasib baik dia sangkut kat tepi bangku, terpaksa menyeludup bawah bangku nak ambil buah tembikai yang dah meluncur bagaikan atas salji....huhuhu dengan muka tebalnya saya cebet bawa ke belakang kalau dia tak sangkut zaz dia meluncur turun kat kaki tangga bas.... hahahahaha
Notei, bukan Kak Nila ketawa pagi-pagi. Okey, Kak Nila akan 'take note' dengan catatan ini, untuk cerita Mat Dobi.
ReplyDeleteIsy, rumah rahsia Kak Nila senang saja dicari Notei. Ini tempat lepas lelah, sebab sambung belajar saja :p