Showing posts with label Belajar. Show all posts
Showing posts with label Belajar. Show all posts

Thursday, 5 September 2013

Banyaknya Nama Bunga :)



 Bunga Matahari

Teks asal

Adapun bumi taman itu ditambaknya daripada tanah koi dan ditanam serba bagai jenis bunga-bungaan, air mawar merah dan air mawar ungu dan bunga air mawar putih dan cempaka dan bunga kenanga dan bunga melur dan bunga pekan dan bunga kembang setahun dan bunga serangkini dan bunga delima danta dan bunga pancawarna dan bunga seri kayu gading dan bunga mutia tabur dan bunga lada dan bunga semburan dan bunga pacar galah dan bunga anggerik bulan dan bunga anggerik semburan dan bunga tanjung merah dan bunga tanjung putih dan bunga tanjung biru dan bunga kandih dan bunga culika dan bunga asad dan bunga perak dan bunga cempaka dan bunga Cina dan perakula dan bunga gandasuli dan bunga sekanda dan bunga kepala dan bunga serunai dan bunga memerah dan bunga raya merah dan bunga raya putih dan bunga pandan dan bunga warsuka dan bunga sambar bawa dan bunga kemuning dan bunga bungar dan bunga keperancak dan bunga dahan dan bunga sena dan bunga kepala sari dan bunga telang putih dan bunga telang biru dan bunga buluh gading dan bunga menderasa pada jeram tangisan naga dan andung merah dan andung putih, pohon limau emas dan limau manis dan limau kesturi dan limau mentimun dan limau gedangsa dan limau geresak dan limau Inderagiri dan bunga karamunting dan bunga serba rasa dan bunga inai. Dan tiadalah hamba panjangkan kata-kata; beberapa dari kekayaan Allah Subhanahu wa Taala yang gharib-gharib sekalian itu dengan jambangan indah-indah perbuatannya.
[HHT, XXVI:514-515]

Cuba senaraikan nama-nama bunga yang kita tak tahu. Aduhai, kayanya kosa kata manuskrip lama, kan?

Monday, 2 September 2013

Abstrak untuk Buku Analisis Wacana

ABSTRAK
Kajian tekstual yang menggunakan kaedah tetenunan leksikal ini menelusur ‘kata lewah tetapi mewah’ dalam Hikayat Hang Tuah (HHT). Kertas ini hanya menganalisis Bab XXVI (26) yang menghimpun begitu banyak lapangan semantik (semantics domain/field) mengenai flora dan fauna, seni bina, sukatan, hierarki manusia, batu permata, warna dan elemen-elemen lain. Memandangkan HHT adalah karya agung Melayu yang kaya dengan kosa kata arkaik yang mungkin tidak digunakan lagi, kajian ini penting sebagai rangsangan pada pencinta bahasa untuk mengutip dan mengumpul kembali apa-apa makna kata (semantik) yang sedang atau sudah hilang atau akan hilang dalam kalangan masyarakat Melayu/Malaysia. Adalah diharapkan kosa kata lama ini digunakan sekali lagi dalam proses mengindahkan dan memperkaya bahasa Melayu. Kertas ini akan melihat lewah dari sudut peranan fonestema; kedua, bagaimana pemikir (pengarang) Melayu menyusun fikirannya secara berstruktur atau lebih tepat lagi proses organisasi mental; dan akhir sekali bagaimana kata lewah digunakan dalam lapangan semantik itu bagi membolehkan pembaca melukis kembali minda pengarang.



Kata kunci: tetenunan leksikal, kata lewah, lapangan semantik, karya agung Melayu, arkaik, fonestema.

ps: terpilih untuk menulis satu bab -- untuk terbitan di Dewan Bahasa & Pustaka. Moga tidak ada banyak pembetulan. 

Saturday, 3 August 2013

Tawaran Kemasukan: Ijazah Doktor Falsafah, Fakulti Bahasa & Linguistik (UM)


Belajar semula selepas mendapat ijazah Sarjana Linguistik di Universiti Malaya (2008) adalah satu keputusan yang tidak dapat diceritakan. Apa salahnya kalau duduk diam-diam, dan menulis buku cerita sahaja, kan!


Ramai yang bertanya, apa perlunya PhD pada saya yang bekerja sendiri? Untuk apa belajar? Kenapa mesti menyusahkan diri.

Betul, memang sedang menyeksa diri. Tetapi, saya selalu merasakan belajar itu satu seni. Ya, seni membaca; seni hadir seminar/kolokium/persidangan. Kalau jadi pelajar ada lesen besar untuk dapat diskaun dalam majlis ilmu serta dapat masuk perpustakaan mana-mana universiti.

Ada geran khusus, dan kata penyelia – ‘Saya akan cuba dapatkan geran untuk awak pergi Leiden, lihat manuskrip Hikayat Hang Tuah yang tertua di dunia'. Tengok, ini lebihnya jadi pelajar.

Saya sudah siapkan semester pertama. Kelas Metodologi Penyelidikan sudah saya hadir. Segala tugasan, alhamdulillah sudah beres. Kini, sudah tidak ada kelas. Dalam enam hingga tujuh semester, saya hanya perlu membuat penyelidikan dan menulis.

Moga dipermudahkan usaha saya Ya Allah, amin.

Jadi saya akan jadikan blog ini, untuk meluahkan perasaan: waktu saya tidak sesiapa untuk berkongsi cerita dan rasa payah ini.

Catatan:

(1)   Seminar 400 Tahun Sulatus Salatin di DBP pada 8 dan 9 Oktober 2013 (insya-Allah mesti hadir – dah letak nama) – percuma.

(2)   Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia (insya-Allah, mesti sertai) – pelajar cuma RM50 orang lain RM600.

Salam sayang:
Kak Nila