Cut Nyak Dien (ejaan bahasa Indonesia lama,
Tjoet Nja’ Dhien). Dia dikenali sebagai ‘Ratu Perang Acheh’. Cut Nyak Dien berketurunan
bangsawan Acheh yang berjuang untuk mengusir Belanda dari negerinya.
Namanya muncul kali pertama ketika saya
belajar tentang sejarah Acheh sewaktu di tingkatan enam. Sewaktu itu saya
semakin tertarik membaca cerita tentang raja-raja perempuan sekitar Nusantara yang
memerintah di Acheh dan Pattani. Di celah-celah itulah, saya terjumpa sepotong nama
perempuan yang berani ini – Cut Nyak Dien. Lalu sejak itulah saya tidak pernah ‘lelah’
mencari maklumat tentang beliau pada saat Internet belum ada, dan buku-buku
yang saya temui tidak boleh bercerita fasal beliau.
Cut Nyak Dien dilahirkan pada tahun 1848
dan meninggal dunia dalam buangan pada tahun 1908. Filem tentang beliau pernah
dibuat pada tahun 1988, tetapi kalau tidak salah cerita itu tidak ‘lulus’ disiarkan
di negara kita. Filem itu pernah ditayangkan ke Festival Filem Cannes. Watak utama
dipegang oleh Christine Hakim dan Slamet Raharjo.
Saya mengagumi semangat Cut Nyak Dien yang
tidak tahu erti putus asa berjuang atas apa yang ‘dia percaya’ sehingga akhir
hayatnya. Beliau masih juga berjuang walaupun sudah jadi rabun sehingga hampir-hampir
buta dan tidak cukup makan (hampir kebuluran); padahal Belanda menjanjikan
kemewahan sekiranya beliau meninggalkan perjuangan gerilanya.
Saya kagum pada Cut Nyak Dien yang berasal
daripada golongan bangsawan, tetapi tidak terliur untuk hidup mewah selamanya.
Segala pujukan Belanda yang bersifat material, beliau tidak hiraukan.
Dan saya juga kagum bagaimana sebagai orang
perempuan – Cut Nyak Dien – yang masih mengekalkan sifat kewanitaannya mampu menjadi
‘mastermind’ dalam
mengatur serangan menyerang Belanda. Malah beliau mengetuai pertempuran demi
pertempuran, sedangkan orang bawahannya kebanyakan ialah lelaki. Beliau dapat memberi semangat pada askar yang
berlainan jantina, dalam negeri yang meletakkan lelaki pada kedudukan yang
teratas.
Waktu itu, saya macam gembira untuk diri
sendiri dengan sedikit darah Acheh daripada keluarga sebelah ayah saya. Selalu
berharap, saya juga bersemangat seperti Cut Nyak Dien. Tentunya saya tidak
boleh dan tidak mampu menjadi sepertinya. Apatah lagi negara kita bukan sedang
dijajah. Namun melakukan sesuatu pada yang kita percaya selagi tidak
bertentangan dengan agama, menjadi prinsip saya sehingga sekarang.
Cut Nyak Dien, ‘mengajar’ saya bahawa ada
sifat-sifat dan ciri-ciri yang menjadikan ‘kita’ – orang perempuan – istimewa.
Sifat itu, kita tidak sedar, sehingga kita terpaksa menghadapi situasinya. Saya
bukannya memperjuangkan feminisme. Cuma saya rasakan sesetengah kerja, misalnya
mengatur rancangan dan rundingan – perempuan sangat mahir melakukannya tetapi
mereka tidak sedar akan kelebihan itu. Contoh yang paling kecil, lihatlah bagaimana
seorang ibu dapat mengurus kewangan keluarga dengan sumber yang terhad setiap
hari. Dan, hanya kerana dia seorang suri rumah – kemahirannya itu dilupakan.
Seperti Cut Nyak Dien, kerana saudara lelakinya
lemah, suami pertamanya meninggal dunia dan sewaktu suami keduanya dibunuh Belanda,
beliau menjadi sangat bersemangat – dan kemampuannya terserlah; apabila keadaan sudah mendesak. Lalu ternyata, beliau
sangat hebat (namanya terukir dalam sejarah)!
Menjadi pengarah di dua buah syarikat penerbitan
(walaupun kecil) dengan staf lelaki dan perempuan; menjadi pengarang serta
editor dan sambung belajar PhD pada masa yang sama, bukanlah apa-apa berbanding
usaha Cut Nyak Dien yang mengusir Belanda dan hidup dalam buangan. Tetapi,
setiap kali rasa penat dan semangat itu hilang, saya selalu terfikir yang saya tidak
pernah penat seperti Cut Nyak Dien yang menghabiskan sisa hidupnya dalam buangan.
Saya juga selalu melihat, apa yang saya
buat sehingga kini tidak setara mana, dan saya sebenarnya masih mampu untuk menambah
kerja dan tanggungjawab.
kak su, di mana boleh saya dapatkan buku ini?
ReplyDelete