"Semua orang dalam rumah Nuha ada ijazah. Nuha saja
macam ni, di rumah Alang pun sama. Semua orang ada ijazah."
Nuha boleh tak kita tak banding diri kita dengan orang lain.
Kita sudah lama berbahagia, kenapa hendak pergi jauh dari Alang ni. Walaupun Alang
ni banyak aktiviti lain, dan bukan jenis menghadap wajah isteri siang malam,
tapi Nuha la yang menjadi keutamaan Alang setiap hari, selain emak.
"Nuha nak studi sebab nak menunjuk ke?"
Nuha tarik muka. Alang ni saja tau, tak sokong hasrat
isteri. Orang lain, kalau isteri nak belajar, beri sokongan.
"Bukannya lama pun, empat tahun sahaja."
"Pada Alang lama."
"Hujung minggu Nuha balik la, bukannya susah pun kereta
api ETS ada sekejap saja sampai." Nuha tersenyum teringat pada peristiwa
yang mereka bertemu dalam kereta api Ekspres Langkawi, dan betapa dia tidak
menyukai Alang pada mulanya.
"Eh, bukan main dia. Ingat murah ke Nuha."
Pada Nuha memang murah berbanding betapa dia akan rindu
Alang nanti.
"Nuha ingat Alang di sini, duk buat kerja cap duit
dalam kilang padi tu ke?"
"Alang tu, kalau dengan Nuha berkira. Kalau dengan
orang lain, habis duit ringgit Alang sedekah habis." Mata Nuha sudah
berair sebab tangannya tersapu bawang merah.
Alang sudah jadi sejuk hati, Nuha ni fasal kecil ni pun dah
nak nangis. Itu yang buat Alang jadi lemah hati hendak bergaduh lama-lama
dengan dia.
"Bukan berkira, tetapi kita bukan ada banyak
duit."
Alang macam tu la, dia selalu tak mahu kalau abah nak beri
duit gaji lebih kepadanya. Kononnya, Alang takut Alang tak kerja dengan
sempurna, mana tahu sebahagian daripada masa untuk bekerja tu Alang duk tulis
puisi atas guni beras. Alang takut tak halal, tak buat kerja sungguh-sungguh
waktu kerja dengan abah. Takut hendak bagi isteri makan jadi darah daging.
Banyak sungguh takut dia!
Itu yang Nuha geram, padahal sampai naik hitam legam kulit
Alang sebab penat bekerja dengan abah. Rambut keriting dia pun sampai macam
topi angkasawan punya besar, tak sempat nak pergi gunting, sebab kerja di
kilang abah tu sibuk. Ini baru Alang tu boleh bernafas sikit, sebab kerja di
bendang dan kilang berkurangan sedikit.
Alang tak tahu sahaja, duit yang Alang tak mahu tu abah beri
pada Nuha. Jadi untuk balik setiap kali hujung minggu kalau Nuha sambung
belajar bukannya susah.
"Nuha nak sambung belajar ni sebab apa? Kerana nak
menunjuk atau saja nak tinggalkan suami Nuha ni?"
"Apa pula kerana orang, yang penat belajar ni Nuha
kenapa pula nak menunjuk?" Ya, dia tidak pernah menggunakan kesempatan
belajar betul-betul waktu SPM dulu, jadi dia tidak mahu melepaskan kesempatan
yang bukan selalu datang. Dia mahu yakinkan diri sendiri, dia bukannya tidak
pandai.
"Habis?"
"Jemu duduk sini?" soal Alang lagi.
Mana ada. Tetapi Nuha malas membalas. Nanti panjang lebar
syarah wakil rakyat tak dilantik ni semakin menjadi-jadi la pula.
"Nak tinggal Alang, sebab dah tak suka?"
Nuha semakin kuat berair matanya, bukan sebab sedih dengan
kata-kata Alang, tapi bawang merah ni memang banyak sungguh airnya.
Nuha cadang nak masak gulai ikan kering dengan terung, itu
masakan kesukaan Alang dan Nuha. Dan dia cadang hendak goreng ikan lengat.
Sayurnya, tak ada. Dia hanya petik ulam sekeliling rumah sahaja. Alang ni biar
duduk Jerman, lama. Tasmania pun lama juga, selera makan dia tetap selera makan
orang kampung. Cakapnya, bunyi loghat Kedah pekat.
"Sudah la nangis tu. Nanti balik masjid, Alang
tak nak bincang hal ini lagi. Jawapan Alang tak boleh. Nuha tak boleh pergi
jauh dari Alang. Bendang abah tu bukan boleh pindah ke Universiti Malaya, kalau
dak boleh saja Alang ikut Nuha sana." Kata Alang sambil berlalu.
Eleh, pandai-pandai aja bagi arahan Nuha tak boleh pergi.
Nanti kalau dia telefon ayah beritahu, tahulah Alang nak menjawab dengan Tuan
Senator Tajul Ariffin.
Kononnya, "Saya akan beri kebebasan untuk Nuha sambung
belajar lagi kalau Nuha hendak buat begitu pada masa hadapan, uncle!"
Ya itu janji Alang, sebab itu cita-cita Nuha sebelum mereka
berkahwin. Tapi Nuha, tak baik tau derhaka pada suami. Tapi Nuha dah jadi rindu
pada Ku Cik, sejak anak kecil itu balik duduk dengan neneknya di Kuala Lumpur.
Apatah lagi rumah nenek Ku Cik dekat dengan rumahnya saja.
[Bersambung]
No comments:
Post a Comment