Sunday, 5 April 2020

[1] Tulis Nama Atas Awan


oleh: Noor Suraya 

Bandar Baru Bangi
Atiq binti Abdul Qudus

MATANYA yang bujur cantik seperti buah badam, dia hela ke arah pohon mengkudu di sebalik kaca jendela dapur. Dari arah singki ini, banyak yang dia nampak sejak masa berginjak perlahan. Sepasang sibur-sibur yang mencari tempat untuk hinggap; anak tupai coklat yang berlari antara akar-akar pokok; serta sekeluarga kucing yang sering mencari makan.

Tiada suara kanak-kanak. Tiada orang lalu di lorong belakang ini. Sunyi dan sepi. Bagai seluruh isi rumah di sini, sudah diculik oleh makhluk asing, jadinya. Ini bukan rumah Atiq dan ini juga bukan negerinya. Entah bagaimana, dia tercampak dalam plot cerita rumah ini, dia jadi bingung. Malah, dia jadi antara pendukung utama watak dalam rumah yang ramai ahlinya ini. Mereka semuanya bukan saudara-mara Atiq. Ya, bukan...

Tapi, Dr Hawa Suria memang seorang tuan rumah yang menyenangkan dan menenangkan. Itu dia pasti.

Atiq terasa ingin menangis. Hati yang sebak itu, sesekali membuat dadanya berdebar. Dia tiada tempat untuk berkongsi cerita. Apatah lagi, dia sedar, hanya pada Allah tempat dia mengadu dan bergantung harap; tiada pada yang lain. Sekejap itu hatinya, jadi tenang semula. Bukan dia tidak cukup makan di sini; bukan dia tidak dapat menumpang tidur dalam rumah ini. Orang lain, lebih dahsyat dugaannya. Tetapi itulah, manusia itu kadang-kadang lupa bersyukur kan!

Sesekali cerita Nabi Yunus yang ditelan ikan Nun membuat dia terfikir – itukah sebabnya dia di sini? Dia bersalah, dan tidak mendengar kata? Cerita nabi-nabi yang nenek selalu ceritakan sewaktu Atiq kecil, usai dia baca surah tertentu – menjadi bagai rumah api tempat pelayar mencari jalan pulang. Cerita yang ibrahnya siapa sahaja boleh kutip dan sesuai sepanjang zaman.

Maafkan, Atiq... ayah!

Atiq larikan sekali lagi matanya pada laman belakang rumah ini.

Belakang rumah Dr. Hawa ini, seperti taman kecil tempat makhluk Allah berlindung dan bersenda loka. Dan kala hujan menderu, Atiq tidak nampak ke mana ‘mereka’ berlari pergi. Namun kala matahari bersinar kembali; nah – masing-masing mencari posisi untuk memeta cerita lagi.

Ya, ‘mereka’ seperti juga Atiq yang ada ceritanya sendiri.

Ya, betullah tu. Kiri jalan, kanan pun jalan... tengah-tengah pohon mengkudu. Kirim jangan, pesan pun jangan... biar sama-sama menanggung rindu. Atiq, mengeluh. Cepat-cepat matanya dilarikan ke arah pokok serai. Anak-anak kucing jalanan tiga ekor itu memang suka sungguh singgah bermain di situ. Suka benar ‘mereka’ membiarkan daun serai mengenai badan ‘mereka’.

‘Mereka’ sedang gatal ke? Kena kurap atau kutu? Sebagai pelajar veterinar, itu yang menarik hati Atiq untuk membuka pintu belakang, dan mendekati Pandan, Kantan dan Inai. Tapi kata Dr Hawa, pintu belakang ini jangan dibuka ya Atiq.

Sudah dua hari, dia tidak nampak si ibu kucing yang berbelang oren itu, barangkali sudah sampai masanya si ibu meninggalkan anaknya – pasang badan dan mengandung anak yang lain. Begitulah fitrah kucing-kucing. Si Keti kucingnya di pulau pun begitu. Sudah bertahun-tahun, dia asyik beranak – macam orang menanam padi, setahun tiga kali! Malah Atiq sudah kehabisan idea untuk menamakan anak-anaknya yang sudah selusin, banyaknya itu.

Petang yang indah, zuhur sudah hampir ke penghujungnya. Panas sudah tidak sehangat tadi lagi. Dia membilas periuk bubur yang tadi harum berbau daun pandan bercampur gula melaka, sambil teringat tadabur Surah Yusuf yang dia dengar di kaca TV. Dia bukan bergaduh dengan ayah! Dan, dia sentiasa bersangka baik kepada Allah. Dia ‘terperangkap’ di sini, kerana Allah sayang kepadanya. Cuma dia tidak dapat menafsirkan lagi hikmahnya sahaja. Sesungguhnya, Allah itu sebaik-baik Perancang – itu dia sedar.

Aduhai, bahagianya kucing di luar jendela, virus ‘tidak suka’ kepada mereka, kan! omel Atiq binti Abdul Qudus untuk sekian kalinya.

Istighfarlah. Sesungguhnya, manusia itu, sebaik-baik kejadian Atiq. Suara arwah ibu bagai mengingatkannya, agar dia jangan berkeluh-kesah. Apabila melihat nasib orang lebih baik daripada diri sendiri. Allah uji sebab Allah sayang.

Astaghfirullah al-Azim.

Pandan, Kantan dan Inai, bergusti sambil mengiau kecil. Inai menghempas badannya di atas perut Pandan yang buncit. Comel sangat. Agaknya Si Pandan inilah yang paling abang sekali. Sementara, Inai yang matanya bulat berkaca itu, menjilat kepala si adik berulang kali. Inai ini si kakak? Aduhai.

Begitu dia namakan anak-anak kucing di lorong belakang rumah ini. Dan, Pandan membawanya mengingati tanah tumpah darahnya; nun jauh ke selatan... jauh, jauh daripada mata. Pulau penanam lada hitam itu, dan juga kaya dengan timah tidak pernah ada ‘tempatnya’ di dunia kalau tidak kerana orang Belanda dan Inggeris tahu akan kelebihan wilayah kecil di hujung peta. Belitong yang cantik, tempat langit bertemu laut. Lautnya bersisik warna hijau empat warna. Subhanallah.

Atiq cepat-cepat menyekat air mata yang berkaca di mata. Rindunya dia.

Kucing-kucing tiga beradik ini sering membuat hatinya yang walang mengenang adik-adiknya sendiri di kampung, berbunga senang – biar tidak lama rasa itu bertakhta dan tentunya, tidak sama. Dia rindu sangat pada tempat jauh, di mana langit menyapa laut, awan menyapu angin lalu, titis hujan mengukir pantai!

Indahnya Belitong...

Kiri jalan, kanan pun jalan,
     Tengah-tengah pohon mengkudu;
Kirim jangan, pesan pun jangan,
      Sama-sama kepala batu!

Salah tu Atiq, sama-sama menanggung rindu!

Apa yang Mak De buat saat ini? Atiq terputus hubungan saat tiba-tiba Kerajaan Malaysia mengumumkan langkah Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) bermula empat hari yang lalu.

Apakah virus (yang Atiq tak ingin sebutkan namanya) ini singgah di Tanjung Pandan? Dari jauh dia sekadar mendoakan, Afia, Yunus dan Yahya elok-elok di kampung. Mudah-mudahan Mak De cukup belanja untuk menjaga adik-adiknya. Ya Allah, hanya pada-Mu aku meletakkan seluruh harap.

Inai menggigit ekor Kantan, dan ‘mereka’ berkejaran meninggalkan rumpun serai, memilih bertamu di tepi longkang kecil di tepi kaca nako. Anak-anak kucing itu sudah hilang daripada pandangan.

“Atiq!” seru suara dari belakang. Mata Atiq beralih pintu antara dapur, ah... tangannya sudah kecut bermain buih sabun, rupanya.

“Ya, Dr. Hawa.”

“Berhentilah basuh pinggan, jom makan dulu.” Hawa kasihan melihat Atiq, anak seliaan sahabatnya dalam program pascasiswazah. Sudah empat hari, anak manis dari Belitong itu menumpang di rumahnya.

Dia baru sahaja kenal Atiq, kala semester bermula. Dia sering ucapkan salam, kalau dia ke ruang rehat pensyarah mencari penyelianya Dr. Maya Nair. Dan saat ini, mereka ‘terperangkap’ di rumah dua tingkat berdekat dengan universiti ini. Rumah yang ramai penghuninya. Mana tidaknya, adik perempuan Hawa, Hana Suhaila berpantang di rumah ini bersama dua anaknya yang nakal. Dan dua hari yang lalu, adik lelaki Hawa juga balik menginap di sini, setelah syarikat penerbangannya mengurangkan slot perjalanan.

Sembilan orang, dan sembilan ‘kepala’ yang pelbagai cerita... dan pada Hawa, Atiq tetap anugerah yang paling manis antara mereka. Begitu Hawa membuat kesimpulan. Sesudah, Atiq menyiapkan bubur kacang untuk minum petang buat semua orang, hari ini. Ya, sesudah Atiq berjaya menyiang tiga kilo ikan pelaling sebesar separuh tapak tangan.

Siapa yang tidak rasa senang, kala melihat pandainya Atiq di dapur. Tidak seperti anaknya Zara yang hanya masukkan butir kacang hijau dalam periuk Noxxa, tekan 15 minit dan membiarkan kacang empuk serta menunggu Hawa menyiapkan selebihnya.

Atiq menggunakan cara yang berbeza. Cara yang membuat Hawa teringat kepada arwah ibunya di kampung.

Kacang hijau, emak saring dengan nyiru; diasingkan batu dan kacang-kacang yang tidak elok. Kemudian dibasuh, dan mana-mana kekacang yang timbul dibuang. Begitu juga Atiq bekerja, persis arwah emak Hawa. Kalau dia mengharapkan anak lelakinya Tariq yang buat bubur kacang, pastilah kadang-kadang kacang hijau yang direndam bertunas menjadi tauge.

Zara sudah 17 tahun, dan Tariq sudah 15 tahun. Bukannya kanak-kanak lagi. Tetaplah, mereka tidak boleh diharapkan di dapur.

Bukan dia tidak pernah dengar yang anak-anak itu harus diajar mengikut zamannya. Betul. Tapi bab makan, zaman mana pun tetap sama. Bubur kacang mesti direbus, diletakkan gula dan sedikit garam serta santan. Sudah tentu, daun pandan yang disimpul jangan dilupakan!

Banyak yang dia patut ajar anak-anak dengan masa yang Allah beri ini, ya... mereka mesti belajar al-Quran dan belajar menguruskan rumah. Entah berapa hari lama lagi tempoh PKP akan berlangsung. Dia harus menjadikan rumah ini syurga untuk anak-anak kenang apabila dia tidak ada lagi.

“Atiq, minum petang dulu,” panggil Hawa sekali lagi.

“Baik, silakan dulu ya, Dr. Hawa. Sekejap lagi saya menyusul.” Balas Atiq. Dia tidak suka untuk sama-sama makan semeja dengan Bunyamin. Maaflah, aduhai hati – dia tidak menyenangi adik tuan rumah yang tiba-tiba datang kelmarin dengan beg besar! Kalau dia membawa virus, bagaimana? Dia tidak senang pada wajah ‘tidak senang’ Bunyamin kala memandangnya. Dia bukan PATI, dia ada visa pelajar. Dia tidak membawa virus!

ps: Cerita pendek ini mungkin hanya ada 5-7 episod sahaja. Cerpen ini dinamakan Antologi Sepekan Sahaja 

6 comments:

  1. Menggunung rindu saya menanti buah tangan Kak Su

    ReplyDelete
  2. Hadir di sini memberi semangat buat Kak Si untuk menulis lagi❤❤❤❤

    ReplyDelete
  3. ❤ tak sabar nak baca next story..

    ReplyDelete
  4. Kak Su selalu terkini dan semasa. Barokillaahu feek.

    ReplyDelete