Monday, 6 April 2020

[2] Tulis Nama atas Awan


Oleh: Noor Suraya

Tiga hari sebelumnya

HAWA mengetuk pintu bilik Atiq, dan Atiq membukanya sambil menghadiahkan senyum manis. Anak Pak Qudus si pegawai negeri wilayah Belitong itu baru habis ‘berinteraksi via Zoom’ dengan penyelianya Dr. Maya Nair di Pulau Pinang. Sebenarnya, kajian sarjana Atiq sudah dinaikkan taraf menjadi kajian untuk PhD. Ini bermakna, dia tidak perlu siapkan lagi kursus sarjananya. 

            Bertuah! Macam murid masuk kelas lompat!

Itu yang membuat dia kelam-kabut pada hari semalam. Setibanya ke universiti, penyelia Atiq sudah pulang ke Batu Feringgi, rupanya. Salah Atiq juga, sebab dia tidak membuat temu janji dengan penyelianya yang baru memulakan cuti sabatikal itu.

 Selama Atiq belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) ni, dia menumpang tinggal di rumah saudara jauh arwah ibunya dekat Seri Kembangan. Sayangnya mereka sekeluarga telah pulang ke Surabaya. Sejak tinggal dengan Tante Nani, dia memang tidak diberi kunci rumah sendiri. Tantenya suri rumah, tidak pernah ke mana-mana. Tadi Tante Nani buru-buru pulang kerana bimbang lapangan terbang akan ditutup; dan Tante terlupa kepada Atiq. Aduhai.

Tadi juga Tante Nani sudah minta maaf kepadanya, sambil menangis. Nasi sudah jadi bubur, dan Tante Nani terus berbicara dengan Atiq sehingga baterinya Atiq habis. Tiada wayar pengecas; dia tinggal sehelai pinggang tanpa apa-apa, kecuali komputer riba. 

Kalau esok sudah PKP – sempatkah dia pergi membeli-belah. Hendak tinggal di mana? Malah pakaian pun dia tidak ada. Apatah lagi wang simpanannya tidak mencukupi. Dia masih menunggu biasiswa baharu, setelah status pengajiannya bertukar daripada sarjana kepada doktor falsafah.
“Sabar deh, non. Tentu sahaja pengajian S3 ini, non akan dapat biaya yang lebih.” Begitu pegawai yang mengurus kesnya memujuknya minggu lalu.

Sudah tentu Atiq tidak akan meminta duit daripada ayah. Bukankah ayah melarangnya untuk menyambung pelajaran? Dia yang degil.

“Dapatkan pengalaman dulu, Atiq. Ayah rasa, kau terlalu tergesa-gesa untuk sambung pelajaran. Kau masih muda, nak! Rebut peluang untuk menghargai hidup. Berumah tangga dan berikan kepada ayahmu ini cucu!" Namun Atiq tidak membalas apa-apa.

"Cuba hitung, apakah kau sudah cukup bekalan untuk ke akhirat juga, nak! Sudah berapa kali Quran kau khatam tahun ini, Atiq?” Kata-kata ayah itu bagai tamparan lembut di hati, tapi pedih terasa sangat – tapi entah kenapa menyapa hatinya yang paling dalam. Ya, apa yang ayah kata itu sedikit pun tidak salah.

Tapi, begitulah hati. Hati suka menjadi raja!

Aduhai...

Dan... sewaktu Hawa lihat, Atiq tiada tempat tinggal – Dr. Hawa mempelawa dia tinggal di sini. Ya PKP ini, bagaimana kalau bukan sehingga 31 Mac sahaja tempohnya? Bagaimana sekiranya dilanjutkan! Jadi tidak usahlah Atiq hendak habiskan duit dengan menyewa di hotel. Begitu dia pujuk Atiq yang dalam keadaan serba salah.

Wajah lemah lembut itu, Hawa rasa bagai seperti anaknya sendiri. Dia pernah alami musibah yang sama, sewaktu belajar di luar negara dulu. Di Dove dulu, ada yang menolongnya. Lalu setelah lebih dua puluh tahun, baru dia berpeluang ‘membalas’ kebaikan dan kemurahan hati orang dengan cara yang sama. 

“Ini pakaian anak saya Zara, harap Atiq muat.” 

Hawa menyerahkan tiga helai baju kurung dan dua helai baju-T lengan tangan serta sehelai baju tidur. Oh ya, dan tuala juga. Benda lainnya sudah Atiq beli sewaktu Hawa singgah di Jaya Grocer ketika beli barangan dapur selepas pulang dari UPM.

“Terima kasih, Dr. Hawa.” Atiq membawa baju ke dadanya. Dia sungguh menghargainya. Banyaknya yang dia dapat jimat, dengan tinggal di sini. Berkat doa ayah barangkali, kata ayah – ayah tidak menyukai Atiq pergi, tetapi ayah tetap mendoakan Atiq sihat-sihat serta selamat di negeri orang. Semoga orang rasa tenang dan kasih pada Atiq. 

Oh, ayah...!

Ayah Nabi Yusuf juga mendoakan yang baik-baik untuk anak-anaknya yang telah menghampakannya. Baginda masih tetap menyeru mereka sebagai anak kesayanganku. Ayat-ayat dalam Surah Yusuf menerpa ke benaknya. Begitu akhlak yang Quran ajar, tetapi Atiq tidak mengambil iktibar. Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Kononnya, dia calon hafizah. Konon dia ingin menghafal 30 juzuk sebelum menyambung pelajaran ‘dunia’ ini sekali lagi. Tapi, dia ingkar pada janjinya, dia memberi ayah harapan palsu.

“Terima kasih.” Ulang Atiq dan matanya bergenang. Wajah Dr. Hawa dia pandang.

Hawa jadi terharu melihat betapa gembiranya Atiq saat itu. Raut wajahnya yang gembira bagai mendapat baju raya itu dia rakam dalam hati. 

Ini bilik adik keduanya yang sekarang ini menjadi pemandu pelancong di Jepun. Adiknya yang malang, adiknya yang sentiasa sedih. Huda Safiah yang dia sayang. Mudah-mudahan Huda Safiah sihat-sihat di negeri orang. Wabak ini juga melanda Hokkaido. Kalau tidak mereka sudah bertemu saat ini. Hawa dan anak-anak sepatutnya menziarahi dan bercuti dengan Huda waktu ini.

Tapi, wabak ini mengubah takwim semua orang di seluruh dunia. Dan mungkin juga merubah almanak dunia?

Lalu di rumah ini, Hawa tiba-tiba jadi ‘penjaga’ orang bersalin; menjadi pengasuh anak-anak saudaranya – Naufal dan Dhia. Selain, mengurus anak-anaknya sendiri – Zara dan Tariq. Ya, anak-anak yang sudah remaja tetapi masih berkelakuan seperti sepupu-spupunya bersekolah rendah itu.

Sudah pun Hawa telefon Yamin untuk datang membantu. Dia sangat letih. Kelas atas talian mesti para pensyarah teruskan, dan tangan dia sudah mula kebas-kebas. Pagi tadi, dia tidak boleh angkat tangan kanannya semula. Syukurlah, saat ini tangannya sudah baik semula. Sudahlah dia ada abstrak yang perlu dia kirim: dia perlu membaca untuk mula menulis. Abstrak yang tidak cemerlang, tentu tidak menarik panel pemilih. September ini ada kertas kerja yang dia perlu bentang; dan dia perlu banyak masa untuk menyiapkan.

Saat ini, anaknya Zara masih tidur petang. Beza umur Zara dengan Atiq mungkin 10 tahun, tetapi dia tidak nampak yang Zara akan menjadi secekap Atiq mengurus diri dan masa.

“Saya harap Atiq selesa di bilik ini. Maaf ya, biliknya di bawah. Tapi, kerana semua kelengkapan belajar ada di sini – saya harap Atiq dapat belajar dengan tenang tanpa gangguan anak-anak Kak Hana yang nakal.” 

Hawa tertawa kecil, kalau Hana tahu dia mengata fasal anak-anak Hana,  mahu dia marah ni.

Atiq ikut tersenyum. Sebenarnya, dia suka sahaja dengan Naufal dan Dhia.  

“Boleh saja guna semua peralatan dalam bilik ini, jangan malu-malu. Saya sudah dapat kebenaran daripada pemilik ruang ini.”

“Ya, Dr. Hawa. Sampaikan terima kasih saya pada adik Dr. Hawa. Saya doakan dia dalam lindungan Allah.”

Inikah hikmahnya, Atiq tinggal di rumah ini? Dia menjadi cermin diri untuk Hawa sedar dia sudah salah mengasuh anak sulungnya. Zara, belahan hati kesayangannya itu akan menghadapi peperiksaan SPM tahun ini. Lalu, Hawa beri kelonggaran segala-galanya. Tak payah ke dapur, selepas makan tinggal sahaja nanti ibu yang basuhkan pinggan; baju tu semua letak saja dalam bakul nanti ibu yang basuhkan. Tugas Zara studi sahaja.

Dan yang paling menyedihkan, dia juga tidak pernah bertanya kalau Zara itu kalau selepas solat waktu atau bangun pagi, mencapai mashaf dan bacalah semuka dua al-Quran?

Yalah, macam SPM itu benda yang sangat penting dalam hidup ini. Padahal kita tidak pernah tahu, usia kita ini sehingga banyak mana Allah pinjamkan. Kita datang ini dengan kosong dosa, kita sepatutnya pula dengan kosong dosa juga, kan. Tiba-tiba rasa itu melekat di dada. Saat dia melihat Atiq. Saat dia melihat Atiq yang menenangkan.

Atiq di depannya ini seorang doktor haiwan – Dr. Atiq binti Abdul Qudus. Sekarang sedang menyiapkan ijazah PhD pula. Umur belum 27 tahun, tetapi dia berjaya dunia tetapi bekalan akhirat dia tidak lupa. Pernah sekali dua Hawa ke dapur ini untuk minum air, dia dengar hanya bacaan Quran sayup-sayup dari bilik di tepi dapur itu. Suara sayu-sayu dengan esakan, buat hatinya tertanya-tanya apa cerita hatimu wahai anak?

Lalu, Hawa bertanya juga akhirnya, tidak tahan hati dia ingin tahu.

“Saya dalam usaha untuk habiskan tiga puluh juzuk Dr. Hawa. Ini baru juzuk ketujuh belas. Kadang-kadang saya menghafal, kadang-kadang saya membaca sahaja Surat Cinta Allah ini.” Balas Atiq sambil tersenyum. Ya, membacanya membuat Atiq rasa tenang. “Kalau hati gusar, baca sahaja kalam Allah, Atiq.” Begitu ayahnya berpesan. Waktu itu, ibunya baru sahaja meninggal. Yang Atiq tahu buat, hanyalah menangis siang dan malam.

Kini setelah dia ‘kehilangan’ ayah, dia juga ubat hatinya yang sekeping ini dengan mengaji sahaja. Atiq mahu ajar hatinya yang keras kepala bagai raja ini, jadi lemah lembut. Dia ‘kehilangan’ Luqman; dan kini ayah. Semuanya gara-gara hatinya suka menjadi raja!

Kalau fasal Luqman, hatinya tetap berkata:

Dari Arab turun ke Aceh,
          Naik ke Jawa berkebun serai;
Apa diharap hati nan kasih,
        Badan dan nyawa lagi bercerai
                
         Tapi dengan ayah tidak boleh begitu. Mana boleh si anak derhaka pada ayah bonda. Setelah ibunya meninggal, ayahlah yang menjaga mereka empat beradik. Lalu, setelah begitu lama ayah menduda, salahkan kalau ayah berkahwin lagi? Lalu, kalau ibu tirinya itu 'jahat' seperti cerita Bawang Putih Bawang Merah – apa hak dia menderhaka pada ayah.

Atiq sanggup tinggalkan daerah kecilnya yang permai, tinggalkan adik-adiknya pada Mak De dan melintasi laut untuk belajar di Malaysia ini.

Nasihat ayah suruh dia bersabar, tolong bimbing adik-adiknya untuk belajar dia lupakan. Dia ingin kejar cita-cita!!! Sebenarnya, bukan kerana cita-cita itu sangat, ayah. Dia patah hati.... bohonglah kalau dia menafikan kasih pada Luqman tidak berharga, sekadar angin lalu.

“Atiq, boleh saya hendak minta tolong?”

“Ya.”

“Kak Hana, minta tolong kalau-kalau Atiq boleh ajar Naufal dan Dhia, mengaji. Dia akan bayar Atiq ikut jam, boleh.” 

Sekurang-kurangnya 10 hari PKP yang berbaki ini, anak-anak nakal itu terdidik dengan Quran. Habis, yang sudah dewasa bagaiamana? Al-Quran tidak perlu mendidik mereka lagi, Hawa?

7 comments:

  1. ❤️❤️❤️❤️❤️❤️❤️❤️❤️

    ReplyDelete
  2. tulisan akak x pernah mengecewakan. Seringkali menjentik hati untuk menginsafkan diri. Moga Allah limpahkan akak idea dan ilham untuk terus menulis

    ReplyDelete
  3. tulisan akak x pernah mengecewakan. Seringkali menjentik hati untuk menginsafkan diri. Moga Allah limpahkan akak idea dan ilham untuk terus menulis

    ReplyDelete
  4. 👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻👍🏻

    ReplyDelete