Tuesday, 7 April 2020

[3] Tulis Nama Atas Awan


Oleh: Noor Suraya


“MAMA nak letak CCTV di dapur, mama nak tengok siapa yang suka sangat buka peti ais tak berhenti-henti tu.

DAN siapa yang suka main peti ais, mama nak suruh Mak Wa tak bagi dia makan petang nanti. Atau, mama ikat dia atas peti ais. Baru lepas makan tengah hari kut.” Jerit Cikgu Hana Suhaila dari tingkat atas.

Naufal yang suka sungguh makan nasi sehari lima kali itu, tidak jadi menjawab. Yang peliknya, biarpun dia suka makan nasi, tetapi tidak juga badannya mudah naik. Makan, pergi tandas, dan naik basikal senaman milik Mak Wa membuat dia sentiasa cergas. Bayangkanlah roti Gardenia putih, sebuku panjang itu – dia boleh habiskan seorang-seorang. Dia ingat mudah ke Uncle Bun hendak dapatkan roti zaman sekarang ini.

Uncle Bun ni kena bersilat depan 7-E, Fal. Mujur Uncle Bun kuat, memang susah nak rebut daripada abang yang beli sampai tiga buku tu.” Dan berulang kali, Uncle Bun bercerita kecekapannya tunggu di depan kedai serbaneka apabila nampak lori Gardenia. Padahal sekali meminta sahaja, abang badan sado tu terus bagi kepada Bunyamin.

“Amboi, gaya pahlawan zaman Hang Tuah, lagaknya! Rebut roti sahaja pun.” Kata Cikgu Hana Suhaila, sambil turun ke bawah perlahan-lahan. Sudah dua kali dia turun hari ini. Jemu duduk di atas, katanya. Kak Hana tu tunggu sebab sahaja untuk membolehkan dia turun ke bawah.

“Kak Ha, ini baru berebut roti, berebut orang Yamin tak tunjuk kepakaran lagi ni.” Tetapi kata-kata itu, dia kulum dalam perut. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. 

Bunyamin mengerling ke arah singki di dapur. Suka sungguh Atiq main buih sabun sambil memandang kucing perut buncit di bawah pokok mengkudu.

Lalu saat ini, rasa menyesal membelikan ikan pelaling tiga kilo semalam, bertandang lagi. Mujurlah dia berjaya belikan sesuatu yang istimewa untuk Atiq hari ini.

Sebenarnya, yang membuat Bunyamin hendak kejar lori Gardenia tu hanyalah kerana dia dengar Atiq pesan kepada Kak Wa, kalau ada roti jagung Gardenia tolong belikan. Dia hendak sahur esok. Langsung, Bunyamin hafal permintaan gadis itu. Jadi dia cadang ke 7-E pagi tadi, konon-konon untuk membeli roti kesukaan Naufal, anak saudara kesayangannya.

Kak Hana masih berleter, biar cuti berpantang tetaplah bakat berleter dia tidak juga berhenti rehat sama. Menjadi guru matematik  selama 12 tahun, menganugerahinya pingat mahir (kategori kefasihan) ‘leter perdana’. Kadang-kadang Kak Wa pun dileterinya, sebab dia tidak puas itu dan ini. Kak Wa dan Kak  Ha ini ada sikap yang berbeza.

Atiq sudah tersenyum mendengar ugutan Kak Hana. Sekejap, tadi Dhia tanpa sengaja sudah jatuhkan pek susu satu liter di atas lantai dapur – dan Kak Ha yang ada di tingkat atas boleh kesan. Bukan main kan Kak Ha, ni! Yalah, siapa tidak kenal Guru Disiplin Sekolah di pinggir Kuala Lumpur ni. Hidung dia tajam menghidu segala kesalahan.

Bukan soal tak ada stok susu lagi di kedai. Sepanjang PKP ini pasar raya kecil dan besar, mini dan sederhana semua ada. Apa susahnya, Uncle Bun mereka merangkap Ketua Rumah Interim siap sedia untuk ke kedai membelinya.

Bunyamin, juruterbang Syarikat Penerbangan Singapura itu mana tahan duduk lama-lama dalam rumah. Kalau boleh ‘terbang’ sekejap-sekejap dengan kereta pun dia sudah gembira. Tapi, Kak Hawa mana benarkan dia keluar tiap-tiap hari. Gaya hendak keluar tu macam ada makwe di kedai runcit Aceh tu, leter Kak Ha waktu makan tengah hari tadi. Semua orang termasuk Atiq turut ketawa.

“Kalau kena tahan dengan polis, Kak Ha tak pergi bayar duit ikat jamin tau.”

Waktu itu, Atiq sedang membawa nasi tambah ke depan. Walaupan Kak Hana sepatutnya makan di atas, tetapi untuk waktu makan tengah hari – tetaplah dia hendak turun makan beramai di bawah. Pantang tak pantang, semua juadah dia cuba rasa. Susahlah orang tak dengar petua berpantang orang tua-tua tu.

Meja enam kerusi itu muat-muat untuk Hawa anak beranak dan adik-adiknya, apabila kadang-kadang Atiq menyertai mereka juga. Ada tambahan dua kerusi plastik juga di situ, untuk Naufal dan Dhia.

Baik waktu itu apalagi waktu ini; Bunyamin malas untuk berbalas kata dengan dengan Guru Disiplin itu. Biarlah Kak Ha menang. Tak rugi pun, beri kakaknya itu menang. Suaminya doktor yang bertugas di Sungai Buloh itu sentiasa elak untuk balik ke rumah Kak Hawa ini, kerana Abang Syahid bimbang dia membawa virus ke rumah ini. 

Apatah lagi si kecil mereka yang baru berumur seminggu itu, baru sahaja discaj. Bimbang Abang Syahid bukannya sedikit. Biarlah Kak Ha nak leter apa pun, asalkan dia jangan stres, kan. Begitu Bunyamin nasihati diri sendiri, setiap kali dia cuba membuka mulut untuk berbalas kata.

Di rumah ini, barang keperluan dibeli, tiga hari sekali. Kalau barang habis, makanlah apa yang ada. Siapa yang perlu apa-apa keperluan lain, tulislah senarai barang pada kertas yang dilekatkan pada peti sejuk. Selalunya, senarai Naufal dan Dhia yang banyak sekali: macam-macam jajan mereka hendak. Macam sekejap tadilah, punca kenapa susu segar tumpah – dua beradik itu cuba buat ‘Kopi Dolgana’. Macam la budak-budak ‘kecil-ketot’ tu selama ini reti minum kopi!

 Setiap kali Bunyamin keluar, macam kastam si kakak sulungnya itu akan semak sama ada dia bawa sarung tangan dan kalau balik pula, cepat saja dia dipaksa rendam baju dan mandi serta penutup hidup harus dibuang segera.

Rendam baju? Basuh baju?

Inilah masalah sejak Bunyamin menjadi ‘penduduk’ di rumah Kak Hawa. Kata Kak Hawa, “Yamin, Kak Wa tak suka Yamin masuk keluar dapur sesuka hati... apatah lagi masuk dapur tatkala Kak Wa, tak ada di dapur.”

Habis, bukankah mesin basuh semuanya ada di dapur? Lalu, sejak sakit tangan jarang sekali Kak Wwa duduk di dapur. Sekarang ini, semua kerja dapur Atiq yang urus. Sesekali sahaja Zara membantu. Habis bagaimana Bunyamin hendak rendam dan basuh baju, kalau macam tu?

Sejak ada gadis manis ini... ya, dia terpaksa mengaku begitu, sebab sejak Atiq ada di sini, rumah mereka bagai diserang dengan perkara yang ‘manis-manis’ saja – termasuk ‘perpindahan’ semut gatal yang buat sarang dekat kabinet tu. Hal manis yang satu lagi, dia akan ceritakan kemudian. Yang dia hendak beritahu sekarang, pelajar kesayangan Kak Wa itu sentiasa ada di dapur. Mesin basuh, letaknya di dalam bilik dapur – sebelah bilik tumpangan Atiq. Jadi, Kak Wa ni macam mana? Dia buat peraturan tak fikir akan kemaslahatan adik bongsunya yang ini.

Sebenarnya, Bunyamin tidak cadang pun untuk menumpang di sini sewaktu perintah PKP ini. Sungguh. Dia lebih selesa tinggal di rumah sendiri dengan rakan-rakan serumahnya dekat Taman Seri Putra. Masalahnya, Kak Ha bersalin. Suami Kak Ha, bertugas di barisan depan merawat mangsa Convid-19. Lalu, Kak Ha dan anak-anak diminta tinggal di rumah Kak Wa. Bukannya, Kak Wa tak boleh urus Kak Ha. Tapi, tiba-tiba tangan Kak Wa sakit dan berbalut dengan ubat rempah.

Jadi?

Dia minta menjalani PKP di sini bersama seluruh ‘rakyat jelata’ Kak Wa, termasuk Dr. Atiq si doktor haiwan.

Jadi Yamin tak suka?


Eh, sekarang dah suka, tentunya!

#####

Suka bukan main Atiq melihat roti krim jagung Gardenia dia atas kabinet dapur. Dr. Hawa memanglah sangat baik. Walau Atiq terlupa tulis pesanannya, tetap Dr. Hawa ingat untuk memesan pada adiknya itu. Alhamdulillah. Mujur tidak kena hurung dengan semut gatal. Sejak Naufal dan Dhia suka bancuh air sendiri, keluarga semut yang panas di luar (mencari tempat berlindung dalam rumah) bergembira dengan ‘kafe manisan’ pula.

Atiq sudah senyum lebar. Ada dua bungkus roti kesukaannya ini. Satu boleh dimakan waktu ini, dan satu lagi untuk sahur nanti. Cepat-cepat dia membawa sebungkus roti ke biliknya. Jangan biliknya dikejar semut sudahlah!

Betullah juga kan orang kata, rezeki bukan hanya semuanya fasal duit dan emas sahaja; mendapat apa yang diingini pun ialah rezeki. Lalu nikmat Allah yang mana untuk dia dustakan.

Tidak sabarnya dia hendak menghafal Surah 55 – ar-Rahman. Semalam, Tariq minta Atiq mendengar bacaannya. Subhanallah, sedap sangat suara Tariq. Macam suara Luqman yang telah meninggalkannya. Aduhai, Atiq sepatutnya mengalah. Dia sepatutnya tidak degil untuk mengejar cita-cita. Dia sepatutnya mahu mengikut Luqman pulang ke Aceh sebagai isteri. Aceh juga dalam Tanah Sumatera. Kenapa dia rasa, Tanah Rencong itu jauh sangat dari Belitong.

Apakah, ada takdir lain yang membawanya ke Malaysia ini? Kenapa dia rasa senang di sini?

Kenapa dia tidak rasa ingin menjadi sebahagian ‘orang Padang’. Luqman itu orang Tanah Tinggi Padang yang bertugas di Aceh. Dan, Atiq ini orang Belitong yang dilahirkan dan dibesarkan di Belitong; serta kini menjadi pegawai perubatan veterinar di Belitong. Selain pernah belajar lima tahun di Bogor, dia tidak pernah mahu menetap di mana-mana wilayah Indonesia yang lain.

 Adakah kerana dia tidak suka akan semangat suku dalam keluarga Luqman? Sehingga begitu sekalikah, cerita-cerita semangat sukuan yang dia dengar (melalui kawan-kawannya) atau baca dalam cerita-cerita Hamka mempengaruhi hidupnya/

Sayangnya, dia sudah melepaskan Luqman yang baik kepada perempuan yang lain. Benarkah, kasihnya pada Luqman tidak sejauh mana? Sebab itu, dia tidak rasa ingin mempertahankan hubungan mereka. Bukan sehari dua dia kenal Luqman, dia kenal sewaktu sama-sama belajar di Bogor. 

Dia pernah menyimpan hasrat mahu Luqman menjadi ayah kepada ‘anak-anak’ mereka suatu waktu nanti. Dia berharap, 'Luqmannya' akan menasihati anak-anak dengan lemah lembut sebagaimana 'Luqman sebenar' dalam Surah Luqman yang sudah dia hafal. Dia hafal surah 31 lebih awal sebab dia suka Luqman rakan seuniversiti dengannya.

Aneh kan, kita hanya boleh menyukai seseorang, hanya kerana sepotong nama!

Akhirnya, apabila dia sedar daripada mimpi-mimpi; dia merasakan dia lebih menyukai susuk Luqman seorang ayah dalam surah yang terdiri daripada 34 ayat itu daripada Luqman bin Saad, yang pernah dia kasih dulu. Apa yang tidak kena dengan hatinya yang sekeping. Atau dia tidak suka cara Luqman menyelesaikan masalah mereka. Atiq, kalau kau tidak ikut aku pulang ke Padang, hubungan kita putus sampai sini sahaja.

Kalau betul, Luqman menyukainya dan mahu jadikan dia sebagai isteri, bukan begitu cara dia ditakut-takutkan – sebab Atiq bukannya seorang yang penakut. Dia hanya ingin takut dan gerun; tetapi tetap ingin dekat pada Allah. Bukan kepada manusia. Dengan manusia, dia hanya perlu rasa segan dan hormat sahaja. Taat pun hanya pada urusan yang membawa dia kepada ketaatan pada Allah.

Atiq menyenangi cara ayahnya mengajar mereka empat beradik mengikut apa yang 'Luqman sebenar' ajar kepada anak kesayangannya. Ayah Atiq ajar mereka kenal Allah terlebih dahulu.

Alhamdulillah. Semalam dia sudah menghubungi ayah dan meminta ayah mendoakan keselamatnnya di sini. Adik-adiknya semua sudah di rumah ayah. Atiq tidak tahu mereka betah atau tidak dengan isteri baharu ayah. Dia cuma doakan yang baik-baik sahaja untuk mereka.

Atiq telah minta maaf kepada ayah kerana pernah tidak menyukai isteri baharu ayah. Agaknya begitulah sikap anak perempuan. Mereka tidak mahu sesiapa pun mengantikan ibu mereka di hati ayah mereka, kan!

Tapi dia tidak pernah adil untuk ayah. Sudah 15 tahun ibu pergi, adiknya yang bongsu Yahya pun sudah di SMA. Dia selalu merasakan ibu ialah pasangan terbaik untuk ayah. Yalah, bagai kata pantun lama:

Jeruju dengan durinya;
           Di tepi jalan orang berlari,
Secocok dengan isterinya;
           Seperti bulan dengan matahari.

“Atiq.” Ada suara di luar jendela biliknya. Siapa?

Eh, bukankah Dr. Hawa sudah berpesan pintu dapur ini jangan dibuka? Sedari awal pun dia ingin tahu, kenapa? Atiq buru-buru pakai tudung sarung.


________
Nota:
#dudukdalamrumah ya!
13 Syaaban 1441H
7 April 2020

Kaksu belum semak ejaan ya. Aduhai, panjangnya. 




6 comments:

  1. Teruja..

    (kemaslahatan) apa maksudnya Kak Su?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Faedah. Seperti tidak memikirkan faedah untuk adiknya, Bunyamin.

      Delete
  2. Alhamdulillah.. Terubat rindu dengan kak su. ☺️

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Kaksu! Saya Hana. Suami nama Yamin. Tersenyum-senyum baca. ������ Teruja sunggoh nama kami dok dalam cerita Kaksu ������ - Farhana Sohaimi

    ReplyDelete