Sunday, 12 April 2020

[4] Tulis Nama Atas Awan


Oleh: Noor Suraya

Watercolor Cat Free Vector Art - (92 Free Downloads)

ATIQ dan Naufal baru sahaja membersihkan bekas makanan ‘Anaks Mengkudu’ di bawah singki dapur. Pandan yang minum susu banyak sekali, habis seluruh muka dia benamkan dalam mangkuk lama Dr. Hawa. Nasib baik tidak lemas susu. Atiq cuba beri susu lembu walau ramai yang kata, susu lembu boleh buat kucing sakit perut. Tapi spesis kucing jalanan ini biasanya, kuat dan gagah. Tambahan musim virus ni, susah juga hendak cari susu kambing. ‘Pet Shop’ memang tidak buka.

          Alhamdulillah sudah banyak kali ‘mereka’ minum sejak mereka menambah populasi rumah Dr. Hawa ini. Elok sahaja Atiq lihat perkembangan anak-anak bawah pohon mengkudu ini.

“Kalau saya besar, saya pun hendak jadi doktor haiwan macam Kak Atiq.” Tiba-tiba Naufal bersuara selepas dia membasuh tangan dengan sabun. Kata Kak Atiq, walau haiwan bukan pembawa virus ini, tetapi selepas bermain dengan kucing, kena cuci tangan.

Dhia yang sedang meriba Kantan, memandang abangnya. Mereka beza umur cuma setahun; perangai dan ketinggian mereka juga tidak jauh berbeza. Tapiii... amboi, abang. Cepatnya tukar cita-cita! Bukankah kelmarin dia hendak jadi Ejen Ali ke?

Sehingga sekarang Dhia tidak tahu dia hendak jadi apa. Cikgu, jururawat dan doktor, tidak pernah masuk dalam senarai angan-angan dia. Dia rimas tengok abah dan mama yang sibuk sangat. Tak ada masa untuk mereka dua beradik. Sekarang sejak ada adik baharu, langsung dia dengan Abang Naufal kena marah hari-hari. Mujur ada Kak Atiq dan Mak Wa serta Uncle Bun yang baik. Mujurlah. Penat tau kena marah.

Sementara, Kak Zara dan Abang Tariq asyik sibuk tengok komputer, sebab kelas mereka ada hari-hari dari rumah. Kasihan. Tak sukalah, kalau asyik kena mengadap komputer.

Dhia pun sibuk juga, tapi tak adalah sampai kena duduk di kerusi sehingga terlepas waktu makan tengah hari. Apatah lagi Mak Wa dan Kak Atiq suka masaka makanan sedap-sedap. Dhia dan Abang Naufal belajarlah juga. Tapi kan, jadual sekolah mereka seronok sangat. Kak Atiq pandai atur jadual. Macam pagi ini, mereka ada kelas mengenal kucing. Kan seronok tu!

Mereka belajar perkara hari-hari. Sekiranya, Uncle Bun baru balik beli barang, mereka ada kelas matematik dan sains. Mereka belajar kenal barang, susun barang dalam rak serta catat dan kira jumlah harga barang. Seronok kan!

Kelas Abang Naufal dan kelas Dhia disekalikan. Mereka seperti dalam satu kelaslah. Tentulah Abang Naufal lebih pandai, sebab dia sebenarnya sudah di Tahun Dua. Dhia ni baru masuk sekolah sebulan dua sahaja. Baju sekolah pun masih berbau kedai, begitu mama beritahu Kak Atiq hari tu. Mama minta Kak Atiq bantu bukan sekadar mengaji, tetapi juga subjek matematik atau apa-apa sahaja. Mama kata, banyak yang Dhia belum belajar lagi!

Nampak tak, mama macam hendak lebih beri tumpuan kepada adik baharu sahaja? Nampak tak?

Tapi...

Yang pastinya setiap pagi, dia dan abang akan belajar mengaji dengan Kak Atiq satu jam. Bukan setakat mengaji, Kak Atiq suka bercerita fasal apa yang ada dalam Quran dan kenapa diturunkan surah itu. Semalam, Kak Atiq bercerita tentang cerita Nabi Sulaiman, cerita fasal Ratu Semut dan burung hud-hud serta Puteri Balqis.

Selepas tu mereka ulang kaji (membaca, menulis dan membaca) selama dua jam. Tentulah di tengah-tengah itu, ada makan-makan juga. Sama seperti di sekolah. Pukul 12, mereka kena sama-sama teman Kak Atiq dengar rancangam #Qurantime di TV Al-Hijrah. Mak Wa dan Uncle Bun pun suka tonton juga. Kelas mereka di meja makan itu sahaja, kantin di dapur dan ‘panggung wayang di ruang’ depan.

Lalu, makan nasi, dan solat berjemaah... selepas itu bebas. Mereka sudah tidak boleh ganggu Kak Atiq, sebab Kak Atiq pun ada kelas dia juga. Dia perlu membaca dan siapkan kerja. Sukalah, dapat cikgu macam Kak Atiq. Kelas dia ‘sempoi’ sahaja. Kadang-kadang dia tanya, hari ini kita hendak belajar apa? Dhia, musykil la... boleh ke ada kelas macam tu? Macam ada suatu hari tu, mereka ada kelas buat kek!

Sekarang dengan adanya anak-anak kucing – hidup Dhia terasa bahagia sangat. Dia suka haiwan, sebenarnya. Mungkin dia patut tiru macam abangnya ada cita-cita jadi doktor haiwan. Tapi kalau kena merawat binatang tu... err... macam mana?

Binatang apa, Dhia?

Ular. Ya, ular yang telah patuk ibu anak-anak kucing ini. Sedihnya.

“Kak Atiq, kalau ular sakit kita kena rawat tak?”

“Kalau ular jahat tak payah, kalau ular di zoo kena kut. Entahlah, sepanjang empat tahun Kak Atiq jadi doktor haiwan, tak pernah ada kes macam tu.” Atiq cuba jawab secara diplomasi, dia sedang membina semangat Dhia semula.

Dhia menarik nafas lega. “Kalau macam tu, Dhia nak jadi doktor haiwan juga la. Macam Abang Naufal dan Kak Atiq.”  

Atiq memerhati wajah mereka berdua. Rasa tegang pada wajah dua beradik seperti petang hari itu sudah berlalu pergi. Kasihan anak-anak. Ini Uncle Bun mereka yang punya fasal. Atiq pun geram. Tapi, sebenarnya Atiq sedang malu sendiri.

“Atiq.” Seru suara itu sekali lagi, petang itu. Kali ini lebih kuat. Atiq cepat-cepat habiskan roti Gardenia jagung selepas mencapai tudung  Dia membuka jendela. Sejak dia tinggal dalam rumah ini – inilah kali pertama dia membuka jendela.

Pada Atiq, kalau pintu dapur tidak boleh buka, tingkap bilik yang menghala ke halaman yang sama pun, begitulah perintah ‘PKP’ dia! Jangan buka. Tapi suara di luar berbaur antara suka dan cemas. Atiq kenalah buka! Dia ingin tahu kenapa!

“Oh.” Kata Atiq sebaik sahaja jendela dibuka. Bunyamin, rupanya. Yalah siapa lagi lelaki dewasa dalam rumah ini kalau bukan Bunyamin. Suara Tariq tu dia dah kenal. Tariq yang rajin minta dia tegurkan bacaan Quran itu dia cam sepenuhnya.

Bunyamin sedang memangku dua ekor anak kucing di bahu sebelah kirinya. Dan muka dia tepat memandang ke arah Atiq. Dia senyum, dan hampir ketawa. Hujung telunjuknya dia arah ke bibirnya. 

Atiq jadi sakit hati, apa maksud Bunyamin letakkan telunjuk di bibir. Dia teringat akan anak lelaki rumah belakang Dr. Hawa ini yang berkaroake pagi tadi. Lorong belakang ini sudah ‘bernyawa’ apabila orang mula selesa #dudukdalamrumah – ada bunyi piano, ada anak-anak menjerit, ada ibu berleter. Tidak sesunyi seperti hari awal-awal PKP hari itu. Sekarang ini, sewaktu pagi dan tengah hari, bau makanan semerbak menerpa dari setiap dapur rumah teres dua tingkat ini. Agaknya, bolehkah Atiq jadi gemuk kalau hanya menghidu bau makanan?

Budak suara tidak sedap itu membawa lagu Soleram yang berbeza liriknya dengan lagu kanak-kanak yang Atiq selalu dengar. Ini versi Kumpulan D’Llyod (dari Indonesia) yang Mak De suka sangat nyanyi sewaktu bekerja di dapur. Orang Belitong suka sangat lagu-lagu lama, apatah lagi lagu irama Malaysia.

Soleram soleram, soleram anak yang manis. Anak manis janganlah dicium sayang. Kalau dicium merah pipinya.

           Bunyamin ni dah melampau, sangat!

         Cepat-cepat Atiq menilai diri; adakah dia tidak menjaga diri sehingga dia dilayan begini oleh adik lelaki tuan rumah? Padahal untuk siangkan 50 ekor ikan pelaling dulu tu pun, dia pakai ‘stokin tangan’ tau. Dia tutup tangan sungguh-sungguh. Dia tidak pernah melangkah keluar dari bilik bawah ini, tanpa sarung kaki. Kaki dan tangannya sentiada bertutup. Apakah dia perlu berpurdah pula.

Pada ketika itulah, Atiq teringat akan Surah Maryam yang sudah dia hafal dan tasmik pada Ustazah Razliqah bulan Disember yang lalu di madrasah di kampungnya. Al-Quran bercerita fasal teguhnya peribadi dan maruah Maryam ibu Nabi Isa itu dalam Ayat 17.

Lalu dia (Maryam) memasang tabir yang melindunginya daripada mereka (keluarganya), lalu Kami hantar kepadanya roh daripada Kami (Jibril) sebagai seorang lelaki yang sempurna rupa bentuknya.

Kemudian apa jawab Maryam dalam Ayat 18?

Dia (Maryam) berkata: “Sesungguhnya, aku berlindung kepada Tuhan Yang Maha Pemurah (ar-Rahman) daripada (perbuatan jahat)mu, sekiranya kamu seorang yang bertaqwa.

Begitu caranya berlindung diri, bukannya membuka jendela membiarkan lelaki berdiri di depan kamarnya, tunjukkan telunjuk di atas bibir. Astaghfirullah al-Azim.

Ya Allah, akukah yang sudah mula pandai meleret senyum, lalu membuat Bunyamin salah faham, dan berani-berani mengusik, begini! Apakah Atiq tidak pandai menjaga kehormatan diri, sehingga Bunyamin berani beri isyarat begitu. Atiq bermuhasabah diri. Semoga Allah mengampuni diri daripada segala fitnah. 

“Kat bibir tu, ada krim roti jagung.” Bunyamin ketawa lagi. Dia tidak tahu apa yang berlegar dalam minda gadis itu. Tiba-tiba muka Atiq bagai pucat kerana dilintasi jembalang! 

Hesy, kalaulah dia tahu! Cepat-cepat Atiq membetulkan diri, dia kena lebih kuat menjaga diri. Bantulah Atiq, wahai Allah. Janganlah suka-suka ramah dengan siapa sahaja yang berlainan jantina. Atiq. Dalam Islam ada batas sempadan. 

Tapi Atiq bercakap dengan dia selama di sini, tidak sampai satu perenggan pun.

“Ada apa?”

“Ibu kucing tu mati dalam longkang belakang tu. Macam ular patuk.”

“Pasti?” Ada rasa cemas yang Atiq cuba sembunyikan. Mana Atiq tidak cemas, dia tidur tidak jauh dari longkang luar itu sahaja, walau bilik ini ditutup kemas. Ya Allah hamba berlindung kepada-Mu daripada binatang berbisa.

Kasihannya, apakah dia cuba melindungi anak-anaknya daripada makhluk menjalar itu. Itukah puncanya, Dr. Hawa tidak bagi membuka pintu belakang ni? Dia tahu fasal ular?

Sekali lagi, Atiq cemas apabila melihat hanya ada Inai dan Kantan, di bahu Bunyamin.

“Eh, cari seekor lagi. Anak dia ada tiga ekor.” Jerit Atiq, perlahan.

“Tiga. Ya, Pandan!” tegas Atiq lagi. Ingat Atiq, jangan buat suara manja atau lemak merdu. Kalau Atiq hendak ikut peribadi mulia Maryam ibu Nabi Isa, sebagai contoh akhlak.

Bunyamin walau ingin ketawa, tetap bergerak pantas ke dalam longkang, selepas melepaskan adik-adik Pandan di atas kaki lima rumah. Sebenarnya, dia buka pintu ini sebab hendak ambil daun mengkudu. Kak Wa nak balut tangannya yang sakit itu; dan Kak Ha cadang hendak bertungku. Belakang ini memang agak semak sikit. Jadi Bunyamin cadang untuk menebas, esok.

Sewaktu hendak memetik daun mengkudu itu, hidungnya menangkap bau. Baru mati ni, kalau hari kedua, ketiga tentulah baunya teruk sangat.

Syukurlah, rupanya Pandan sedang tidur tidak jauh dari situ. Pandan, tu mama kamu dah risau tu! bisik Bunyamin, sebelum mengangkatnya.

Atiq sudah berdiri di depan muka pintu dapur. Dia segera keluar dan mengambil dua ekor anak kucing lagi yang sudah ‘melilau’ atas ruang bersimen, tak tentu arah. Lalu digedong dalam pelukkanya. Sebenarnya, dia ingin mencium anak-anak kucing yang comel itu. Tetapi, dia tahan hati. Dia malu pada Bunyamin. Anak kucing tiga ekor ini seperti adik-adik yang dia tinggal di Belitong – Afia, Yunus dan Yahya.

“Atiq, kalau yang ini Pandan, yang dua ekor itu, namanya apa?” tanya Bunyamin, sambil menunjuk Pandan.

Atiq malas menjawab. Untuk menjadi seorang perempuan Mukminah, dia kena tahu jaga diri. Surah Maryam menjadi asas untuk dia ambil ibrahnya supaya menjadi hamba yang diredai Allah. Banyak yang dia kena belajar daripada Maryam ibu Nabi Isa; sekiranya dia bercita-cita menjadi seorang Rabaiatul Adawiyah!

“Atiq!” seru Bunyamin.

“Boleh tak, tolong tanam ‘ibu budak-budak ini’ bawah pohon mengkudu?” Mata Atiq sudah bergenang.

Bunyamin mengangguk.

“Boleh tak, tolong tabur belerang sekeling rumah ini. Kalau tak ada tolong belikan, boleh?” Mujurlah bahasa orang Belitong ini sama sahaja seperti orang Malaysia, kerana mereka pernah serumpun.

“Baik Atiq, saya yang menurut perintah”

Jangankan si pucuk nanas,
          Si pucuk rotan saya carikan;
Jangankan kijang bertanduk emas,
         Bertanduk intan saya carikan.

Er, di mana hendak cari belerang musim PKP ni, apabila kedai barangan ‘hardware’ ditutup?

“Bukan perintah, saya minta tolong, Encik.” Atiq membawa masuk ketiga-tiga ekor kucing ke dalam rumah.

Dan saat ini, anak-anak kucing ini Dr. Hawa telah benarkan bawa masuk ke dalam rumah dan memeliharanya. Inilah pakatan sulit, Naufal dan Dhia serta Ketua Keluarga Interim mereka – Uncle Bun.

_________
ps. Mungkin esok satu bab lagi dan epilog. Selamat membaca, tinggalkan komen jika ada apa-apa yang saudara/i suka dan tak suka pada cerita ‘mood’ PKP ini. Selamat berhari minggu ya.

6 comments:

  1. 😭😭😭😭 ibu kucing mati dipatuk ular.. Kesian tifa beradik tu 😭😭 ...

    Harap episode ni bersmbung smp hbs pkp tambahan ni Kak Su 🥺🥺🥺

    ReplyDelete
  2. Ala sedihnya ibu Pandan mati... Atiq jadi 'ibu susuan' Pandan 3 beradik ya nanti? Huhuhu

    ReplyDelete
  3. Allah, jauhnya saya daripada berperibadi muslimah..

    ReplyDelete
  4. Membaca cerita atiq...seperti menerima tamparan ..betapa bab aurat sering kita perlekehkan....

    ReplyDelete
  5. baca tulisan kak su hilang sikit rindu nak bc novel js. x sabar tggu bab seterusnya...

    ReplyDelete
  6. Cepatnya dah nak habisssss.. Panjangkanlah lagi Kaksu..🙏🙏

    ReplyDelete