oleh: Noor Suraya
(VERSI BELUM EDIT)
DUNIA ini
ditegakkan oleh empat tiang. Ilmu para ulamak; keadilan orang yang memerintah;
sedekah orang kaya; dan doa orang fakir.
Begitu
pagi ini, Atiq lalui hari kesepuluh PKP di rumah Dr. Hawa. Tuan rumah yang
menyenangkan, anak dia yang baik-baik, anak-anak saudaranya yang cerdik serta
adik-adik Dr. Hawa yang penuh warna-warni – Kak Hana dan Bunyamin.
Namun, Atiq inginkan lebih
daripada itu. Dia ingin membantu negeri yang dia sedang tumpang tinggal saat
ini. Dia ingin bertawasul atas kebaikan yang insya-Allah ingin dia kerjakan itu;
mudah-mudahan Allah memberi kebaikan kepada keluarga Atiq sendiri yang nun jauh
di hujung peta. Tempat di mana langit bertemu laut, angin menulis kata-kata
cinta atas awan putih bersih. Laut bersisik, dalam empat beza warna hijau: Subhanallah.
Tetapi, bagaimana dia dapat
memberi cadangan pada Dr. Hawa. Dia sekadar menumpang dan dia tidak ada wang
yang lebih. Saat ini yang dia ada, hanyalah sekadar kudrat dan buah fikiran
yang tidak seberapa. Ya Allah, berilah ruang untuk aku memberi; bukan sekadar hanya
menerima.
Dia suka tinggal di sini, di
rumah Dr. Hawa ini. Kata Dr. Hawa, lain kali kalau Atiq terpaksa datang ke
Serdang untuk urusan PhD-nya, dia tidak perlu sewa hotel atau bilik, dia
dialu-alukan tinggal di sini. Baru-baru ini juga ayah sendiri telah menelefon bercakap
dengan Dr. Hawa, menyampaikan ucap terima kasih kerana menumpangkan Atiq; serta
minta maaf, sekiranya Atiq telah menyusahkan Dr. Hawa sekeluarga. Ayah risau,
kalau-kalau Atiq tidak pandai bawa diri di rumah Dr. Hawa.
Pergi ke
hutan memburu rusa,
Rusa berjemur di tengah panas;
Kalau
pandai menimang rasa,
Jangankan tepi, di tengah tak lemas.
Sebenarnya, Atiq membuat
kajian berkaitan dengan monyet mata bulat yang boleh memalingkan lehernya, 180
darjah itu. Jadi, banyak masa selepas habis semester satu dan dua ini, dia akan
kembali ke Belitong. Dia akan menggunakan makmal tempatan untuk kajiannya; dan
dia terpaksa masuk hutan untuk pemerhatian haiwan purba itu – palilean, dalam bahasa Belitong dan Tarsius Bancanus Saltator.
Atiq membuka nako dapur, di
luar sudah cerah. Di laman kecil tanah belakang rumah ini, Bunyamin sedang
usahakan taman herba untuk kakaknya. Entah hidup atau mati segala tumbuhan
baharu dengan cuaca Bangi yang panas ini. Tapi tentu sahaja panas lagi cuaca
Belitong, kampung halaman Atiq. Selain serai, pandan, daun kari dan pokok
mengkudu yang telah sedia ada, adik Dr. Hawa tanam juga pokok kaduk yang dia
jumpa di longkang depan rumah.
Kak Mar jiran depan rumah Dr.
Hawa ini telah beri anak-anak cekur dan ranting pokok lemuni serta serai kayu. Bunyamin
tu ramah-tamah sangat, saat dia ampai baju di laman depan tu, sempat lagi bertegur
sapa dengan isteri kepada Pengurus Operasi Gas Malaysia tu.
Siap bertukar cerita tentang
anak kucing tiga ekor di rumah ini, dengan cerita anak kucing Kak Mar yang tiga
ekor itu – Otaru, Chitose dan Sapporo. Mujurlah, Kak Mar sekeluarga ke Hokkoido
bulan Januari lagi – kalau tidak mahunya mereka dikuarantin sebagai Kluster
Hokkaido pula. Begitu cerita Bunyamin sewaktu mereka sekeluarga makan beberapa hari yang lalu.
Lalu, Tariq menambah dengan suara cemas, “Nasib baik kita tak jadi pergi ziarah Mak Da kan, emak!”
Lalu, Tariq menambah dengan suara cemas, “Nasib baik kita tak jadi pergi ziarah Mak Da kan, emak!”
“Ya, Allah itu sebaik-baik
Perancang,” balas si emak yang lebih suka mendengar daripada menganggu Bunyamin bercerita.
Meja makan adalah tempat
mereka sekeluarga berkongsi cerita dan anekdot; sebelum semua orang hilang
dalam bilik masing-masing sementara tiba pula waktu minum petang. Selalunya, hanya
Bunyamin yang akan berehat di ruang depan sambil menonton Netflix. Manakan tidak,
dia tiada bilik yang jelas. Bilik studi di kamar atas tu, kalau siang hari Zara
dan Tariq guna untuk belajar. Malaslah Bunyamin hendak hampar lembek untuk
tidur sambil dengar cikgu sekolah atau cikgu tuisyen atas talian sedang
mengajar. Tidak seperti Tariq, Zara suka ikuti kelas tanpa pendekap telinga.
Bilik depan pula, Kak Wa guna
untuk bekerja dari rumah. Semasa PKP ini, Kak Wa tidur dengan anak-anaknya dalam bilik depan
tu. Sementara bilik belakang pula untuk Kak Ha dengan anak-anaknya. Bilik tamu
bawah, untuk tamu dari Seberang. Bunyamin ini jadi gelandangan di rumah
kakaknya sendiri.
“Kebun herba tu sudah berapa
peratus menjadi?” soal Kak Ha, selepas Bunyamin habis bercerita fasal Kak Mar
dan kucing-kucingnya.
Sekejap sahaja, Bunyamin kena kutuk
dengan Kak Ha fasal kebun herba dia. Kakaknya itu sempat kenyit-kenyit mata
dekat Bunyamin. Persoalannya, hanya mereka berdua sahaja tahu. Atiq seperti
biasa tekun makan, atau bangun ke belakang untuk menambah apa yang kurang. Sebenarnya,
dia segan untuk makan bersama-sama keluarga Dr. Hawa. Dia selalu pura-pura
sibuk untuk tidak berlama-lama di meja makan.
“Yalah, mana ada nurseri pokok
buka saat ini, kecuali hendak beli benih pokok sayuran dan bunga di EconSave.
Mungkin cita-cita Yamin ini akan berlalu, setelah berlalunya PKP nanti.” Begitu
usik Kak Hana, esoknya, sewaktu mereka sekeluarga makan malam pula
“Sarapan pagi apa, menteri dapur?”
soal Bunyamin dari belakang.
Ternyata yang sedang
membalikkan roti di kuali leper terkejut bukan kepalang. Aduhai, pagi-pagi
sudah buat Atiq terkejut. Habis cerita berhenti mengejut! Hesy!
Bunyamin sebenarnya, ingin
ambil plastik berisi sampah sebelum lori datang. Yang sungguh menghairankan tu,
kenapa sampah musim PKP dilaporkan tidak sebanyak seperti sebelum PKP ini? Orang
berjimatkah, sehingga tak ada benda yang berbaki? Orang masak sendiri, jadi
tiada sangat bekas makanan ‘pakai buang’ perlu dibuang? Atau apa?
Ini bukanlah kali pertama
Bunyamin tinggal dalam tempoh yang lama di rumah kakaknya. Setiap kali di sini,
tugasnya seperti biasa membuang sampah! Dia yang lantik dirinya sendiri. Begitu
juga sejak berhari-hari di sini. Ya betul! Bukan kerana si manis dari Pulau
Belitong itu pagi lagi sudah ada di dapur. Jangan hendak tuduh begitu ya!
Jangan sekali-kali!
Kak Wa sedari dulu, sejak
balik dari UK selepas habiskan ijazah doktor falsafahnya lima tahun dahulu –
sudah tidak pernah ada orang gaji. Apa yang dia mampu, dia buat – kalau tidak
dia tinggalkan sahaja dahulu. Kak Wa jenis cekap menguruskan rumah tangga,
apatah lagi sejak suaminya meninggal. Cuma masalahnya, dia tidak mahu menyuruh
anak-anaknya itu membantu. Semua kerja dia hendak buat sendiri, kalau boleh
hendak tolonga ambil peperiksaan untuk anak-anaknya itu, sebab kasihan dan
kasih sangat!
Bunyamin menunggu, si muka
bersih licin itu berkata-kata.
“Roti telur!” jawab Atiq dua patah, tanpa
mengalih matanya yang cantik bagai biji badam itu dari tungku dapur. Bagaikan kalau
dia pandang Bunyamin, roti yang baru diterbalikan itu akan hangus.
Roti telur! Kemudian, ditambah berpatah-patah
lagi di dalam hati. Ya, kalau ikut kata Naufal dan Dhia – roti celup telur. Tapi,
french toast menurut sepupu mereka, Zara
dan Tariq. Naufal yang suka makan nasi sehari lima kali, tidak suka apa-apa
makanan berbunyi nama Inggeris. Mereka terbiasa ada pengasuh dari kampung
sewaktu abah dan mama mereka bertugas di pedalaman.
Sementara, anak-anak Dr. Hawa pula suka masakan
berbunyi Perancis atau Inggeris. Rumah ini ada begitu ‘banyak warna’. Dan, kata
hati Atiq – biar laut itu masin tetaplah ikan itu tidak masin. Naufal dan Dhia
orang Timur dan Zara serta Tariq yang pernah belajar di UK, beberapa tahun,
suka menjadi orang Barat. Dan Atiq ini, orang pulau – ikan dan sambal, makanan
kesukaannya!
Hari ni Atiq cuba mengurangkan stok telur yang
pelbagai saiz, juga ‘kecacatan’, serta ton warna. Minggu ini, Ketua Rumah
Interim beli sepapan telur, 30 biji. Telur kali ini tidak mengikut piawaian
gred sebenar. Kulit telur tu berbenjol pun ada, berjeragat, cerah kuning
berbintik seperti buah lai pun ada. Aduhai. Besar sikit daripada telur puyuh
pun ada banyak butir.
Agaknya, orang paksa ayam-ayam muda ini bertelur
ke untuk memenuhi keperluan permintaan? Lucu sangat bentuknya.
“Ada madu dan mentega?”
“Masih ada. Er....”
Suara Atiq berhenti di di situ. Nak pesan ke tak, ni?
“Ya.”
Jawab Bunyamin. Oh, mahu berkata-kata juga cik kak ini.
“Nak minta beli yis, boleh?” Dia cadang hendak
cuba buat bun sendiri. Dia nampak caranya mudah sahaja di Internet.
Sebenarnya, Atiq boleh sahaja menulis pada kertas
di peti sejuk, untuk memesan; atau letak pesanannya di grup WhatsApp – Rumah
No. 16 ni. Tapi, dia tidak mahu Naufal dan Dhia menaruh harapan. Mana tahu,
kalau benda yang dia hendak buat ini tidak menjadi. Kasihan kan beri harapan
palsu pada anak-anak. Apatah lagi dia hendak ajar sains topik penapaian pada
anak-anak itu, kalau yis tidak ada.
Selain itu, kesian pada Naufal, macam tak cukup
bekalan roti sahaja. Anak didiknya yang rajin mengaji tu, harus diberi
ganjaran.
“Mauripan?”
Eh, tahu pula dengan nama aneh tu? Belum sempat
Atiq hendak Google tunjuk gambar pesanannya, Uncle Bun siap boleh hafal.
Yalah, macam mana Bunyamin tidak hafal. Beberapa
hari sudah sewaktu dia sedang beratur untuk membayar, tiba-tiba ‘tukang kedai mengumumkan’
dengan suara lantang. “Ha, siapa hendak mauripan, tu baru sampai. Lalu, para
Ketua Keluarga Interim (bahagian membeli-belah) keluar barisan dan mendapatkan
pek itu.
“Tapi hari membeli-belah baharu, tiga hari lagi
kan?” kata Atiq, perlahan.
Bunyamin mengangguk. Kak Wa la ni, tegas sangat
undang-undang di rumah ini. Ini, baru sahaja PM umum, PKP Fasa 2 ditambah
sehingga 14 hari lagi. Tidak tahulah, PKP ini ada berapa fasa. Makanya, rambut
Bunyamin yang ikal ini tidak tahulah mengembang macam mop ke, helmet angkasawan
ke, atau sarang burung. Hodoh sangat dia pandang di cermin pagi tadi.
Kurang-kurang kalau boleh trim sikit pun jadilah.
“Atiq, saya ada benda nak bincang, sekejap. Boleh
tak?” kata Bunyamin, perlahan. Mukanya sudah berubah jadi serba salah. Merah
sebab Bunyamin sangat malu untuk menyatakan. Namun sejak lapan hari di sini,
separuh dari masanya, Si Bunyamin memikirkan hal yang satu ini. Dia tidak tahu
bagaimana untuk memulakan.
“Ya. Saya ni sebenarnya, malu untuk mengaku.”
Kata Bunyamin, teragak-agak.
“Ya?” Atiq ingin mendengar dahulu, dia tidak mahu
malu lagi memikirkan yang bukan-bukan.
“Saya ini bapa saudara kepada anak-anak buah
saya, dan adik lelaki kepada kakak-kakak saya... tapi, tetap saya tidak berani
jadi imam untuk solat berjemaah di rumah ini?” Lega rasanya selepas Bunyamin
bercerita sebahagian masalahnya.
“Saya sudah malu, hari-hari membiarkan hanya Tariq
yang jadi imam. Saya rasa, saya sebagai orang tua yang tidak boleh diharap.
Sebenarnya, saya tak suka solat sendirian dalam bilik. Sedangkan, semua orang
beramai-ramai solat di tengah rumah.”
Atiq memandang Bunyamin di depannya. Lelaki yang
boleh dikatakan ada segala-galanya, ada rupa, ada pekerjaan, disayangi siapa
saja yang mengenalinya. Betullah, tiada siapa yang sempurna, kan!
Yang membuat Bunyamin ingin berkongsi masalahnya,
hanyalah apabila dia mendengar dengan lemah lembut bagaimana Atiq menasihati
Zara.
Zara, cuba lihat
buah-buahan ini. Kala itu, di depan Zara
ada beberapa biji oren dan sesikat pisang. “Allah tutup buah ini dengan
kulitnya, tujuan untuk melindunginya. Begitu juga, kenapa Allah suruh orang
perempuan bertudung. Allah, melindungi maruah kita dengan menyuruh kita
bertudung dan menutup aurat.
Kemudian, Atiq bacakan surah, yang Bunyamin tahu
surah apa. Atiq mengupas ayat itu dengan jelas dan terasa dekat. Penuh hikmah,
lemah lembut, dan penuh keibuan.
“Surah apa yang Encik, masih ingat? Yang selama
ini, Encik alunkan dalam solat.” Atiq bertanya, dengan hati-hati agar tidak
mencalarkan ego Bunyamin.
Bunyamin mengeluh. Ya, dulu dia pernah hafal
begitu banyak surah, terutamanya surah-surah dalam Juzuk 30 – Amma. Rupanya, Quran ini kalau kita
tinggalkan, dia juga meninggalkan kita, kan! Astagfirullah al-Azim.
“Tiga Qul
kut.” Lama baru Bunyamin bersaudara.
Ya Allah,
untuk hafal Empat Qul pun dia tak
ingat rupanya, itu belum lagi surah fasal Gajah, Semut, Kuda Perang, Lebah, serta
Surah Lembu Betina yang sangat panjang itu. Apa yang dia dah buat dengan
hidupnya selama 33 tahun ini?
“Mak Wa, Uncle
Bun ada di belakang ni!” jerit Dhia di depan muka pintu dapur. Bunyamin
memandang Atiq, dan Atiq menunduk. Masalah Bunyamin ni nampak kecil tetapi
sebenarnya besar. Sekiranya PKP ini berlarutan sehingga bulan puasa, siapa yang
akan mengimami solat tarawih? Takkanlah Uncle
Bun asyik hendak solat dalam bilik sahaja.
Semalam pun Naufal dah jelaskan, solat berimam
tu, pahalanya 27 kali daripada solat bersendirian, Uncle Bun. Ustaz dalam TV cakap. Tentu Naufal dan Dhia akan bertanya, kenapa
asyik Abang Tariq saja jadi imam. Mereka berdua sangat memandang tinggi pada
ayah saudara mereka itu. Itu yang membuat Bunyamin tidak selesa. Dia tidak mahu
dipandang rendah oleh anak-anak saudaranya. Dia tidak mahu membuka aibnya
sendiri.
Yamin, yang lebih penting, apa yang Allah pandang
kita. Kalau cerita di Netflix dia boleh habiskan daripada satu filem ke satu filem
setiap petang – kenapa tidak dia cuba menghafal daripada sebuah surah ke sebuah
surah yang lain.
Selagi, nyawa belum bercerai daripada badan, masa
untuk belajar ada, dan tidak pernah berakhir.
“Uncle Bun, lori sampah dah berlalu.” Sambung
Dhia.
Aduhai, janganlah masa dia untuk menghafal turut berlalu.
_____
Catatan:
Ini versi belum edit dengan sempurna lagi ya. Nanti lapang kaksu baiki ejaan dan ayat yang tunggang-langgang ni :(
Moga idea kak su mencurah curah, serta moga kak su sihat selalu. Tak sabar saya nak baca lebih lagi. 😍
ReplyDeleteOk.. Teringt post fb Kak Su pasal telur hari tu..
ReplyDeleteYelah.. Manusia itu mana sempurna walaupun Allah telah cipta sebaik2 ciptaanNya..