Friday, 18 September 2020

[6-ii] Tulis Nama Atas Awan

 Oleh: Noor Suraya

(Dora kucing jalanan yang sakit) 

                                                                    (ii)


Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Quran ialah seperti buah Utrujah (buah limau) yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah Hanzalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau." – Hadis al-Bukhari (7560) daripada Abu Musa

 

HUJAN pagi itu membawa hati Atiq berbeza sekali. Sebelum subuh lagi Atiq sudah bangun, dia sudah berjanji dengan Dr. Hawa akan menanak nasi lemak. Tentu sahaja tidak sama nasi lemak orang Selangor dengan nasi lemak di kampungnya nun jauh di hujung peta. Langsung, Dr. Hawa memberi resipi nasi lemak orang Kedah.

            Arwah suami Dr. Hawa itu orang Langkawi, lalu resipi ibu mertuanya sudah dia berikan pada Atiq melalui grup WhatsApp rumah ini. Dan AJK bertugas semua Dr. Hawa catatkan di situ. Bukan main suka Naufal dan Dhia; sebab jadi orang penting.

            AJK Tugas-tugas Khas – padahal tukang pergi sangkut makanan depan pagar rumah orang sahaja. Jangan masuk, sekadar bagi salam sahaja. Pesan Cikgu Hana pula. Budak-budak dua beradik itu bukannya boleh harap sangat, nampak saya kucing atau arnab di rumah tetangga ‘siap ingin berkenalan pula’.

“Orang Kedah, nasi lemaknya ada dua jenis. Ada nasi lemak kuning dan tak perlu guna santan. Satu lagi, nasi lemak yang pakai halba. Yang ni guna santan. Baunya ala nasi dagang, tapi ada daun pandan. Atiq pernah makan nasi dagang?” Atiq menggeleng.  

Mereka terus berbincang sebelum Hawa mencatat barang-barang yang harus dibeli semalam. Santan, memang hendak guna santan kotak sahaja – cepat, sebab Hawa tidak suka kalau hendak masak nasi lemak, santan terpaksa beli awal sehari dan masih keras dalam peti ais. 

Mereka mula menghitung...

Dan kelas matematik Naufal dan Dhia juga berlangsung sama. ‘Cikgu Atiq’ memang pandai guna peluang untuk mengajar bagi elak ‘anak-anak murid’ bosan.

Subjek: ‘Nasi Lemak untuk Kejiranan’ 

Kalau sekilo beras, untuk 20 bungkus. Berapa kilo beras diperlukan untuk menyiapkannya 100 pek nasi lemak?

Sebetulnya, mereka guna kotak plastik persegi kecil pakai buang sahaja. Musim PKPK begini semua urusan pakai plastik; tiada lagi usaha untuk hapuskan plastik. Hawa pun tidak tahu kenapa. Semua sikap yang disemai sebelum ini, hilang begitu sahaja.

“Hendak buat untuk berapa rumah, Dr. Hawa? Kalau fikirkan tentang konsep kejiranan dalam Islam, 40 depan... 40 belakang... 40 kiri... 40 kanan.” Atiq memandang wajah keibuan Dr. Hawa di depannya ini dengan penuh pengertian.

Pengsan, sampai tengah hari Atiq menanak tak tentu dapat siap.

“Seramai itu Atiq?” Dr. Hawa melihat peralatan dapurnya. Periuk belanganya yang tersusun dalam almari bukannya sesuai untuk masak banyak begitu. 

Le Creuset warna putih dan biru nila terang, bukannya besar sangat. Periuk yang dia beli tapi sayang untuk digunakan itu tetaplah menjadi perhiasan di dapurnya.

Dr. Hawa tidak ada periuk aluminium cap Buaya ternganga baik pun mulut buaya tertutup – macam milik arwah emaknya. Besar dan praktikal, sekali dua kali masak, sekampung boleh makan. 

Betulkah begitu, Atiq? Ramai sungguh!

Atiq segera mencari informasi di Internet.

Opps...

“Sama ada yang tinggal di atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang yang mencapai 40 buah rumah. Begitu yang direkodkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam buku Imam al-Ghazali.” Riwayat Abu Daud pun sama, “Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga.” Sambungnya. Atiq membetulkan kenyataannya.

“Sebab itu, hal yang penting dalam penulisan tesis itu kita kena rekod sumber rujukan.” Kata Dr. Hawa sambil ketawa. Aduhai, secara tidak langsung sempat lagi bagi kuliah.

“Siapa yang dianggap menjadi jiran kita yang 40 rumah itu, Atiq?” soal Dr. Hawa untuk mengambil hati Atiq semula. Anak gadis Belitong itu jadi malu sebab sudah salah beri informasi pada awalnya.

“Jiran tu mencakupi semua orang sama ada Muslim atau bukan Muslim, warganegara dan bukan warganegara... jadi saya termasuk juga.” Balas Atiq dengan senyum manis.

“Atiq, kamu itu macam anak saya,” balas Dr. Hawa segera. Bahu Atiq dia sentuh lembut, Mata Atiq yang cantik itu sudah mencerlang senang.

Mata Atiq tiba-tiba bergenang. Dia rindu arwah ibunya.

Lalu dalam grup kejiranannya, awal-awal lagi Dr. Hawa sudah maklumkan yang mereka akan beri sarapan untuk semua rumah pada pagi Jumaat ini. Sepanjang PKP ini, hari-hari ‘orang bercuti’ di rumah. Senanglah kerja Tariq dan anak-anak Cikgu Hana mengagihkan makanan pada jiran selorong ini sahaja dulu.

“Kita beri, pada semua yang menghadap ke arah rumah kita ini, dari hujung sana ke hujung sebelah sini. Juga, jiran di sebelah kanan kiri rumah kita sehingga ke paling hujung... itu yang kita hantar dulu.

Yang lorong di belakang kita ini, kita abaikan dulu. Begitu juga lorong menghadap jalan itu.” Begitu Bunyamin memberitahu ‘anak-anak kapalnya’ waktu makan malam semalam.

24 rumah sahaja!

Rumah yang ramai penghuninya, mereka beri lebih kotak makanan. Nasi lemak sambal sotong, ada telur rebus dan ikan bilis serta kacang tanah. Dua hari sudah, ada lori ikan dari Tangjung Dawai masuk menjual di taman permainan mereka. Uncle Bun borong semua sotong yang ada. Lalu... sambal sotong, sudah semalam siap sedia. Sambal tumis sotong Dr. Hawa siapa yang boleh lawan.

Timun sahaja tidak ada. Bukan sebab musim PKP ini timun susah dapat; tetapi kalau letak timun – nasi bersantan macam ini senang basi sekiranya lambat dimakan. Begitu kata Cikgu Hana, si cikgu yang hari-hari makan nasi lemak di sekolahnya sebagai sarapan.

Lalu, pagi ini rumah Dr. Hawa dan kumpulannya buat operasi membungkus 100 kotak nasi lemak sotong berlapik daun pisang. Tiada siapa pun bertanya, di mana Uncle Bun jumpa daun pisang yang elok dan berbau segar ini kecuali Atiq.

“Oh, kawan saya mengusahakan kebun pisang!” jawab Bunyamin, pura-pura serius. Padahal, suka bukan main dia kalau Atiq mahu bertanya apa-apa dengan dia. Gadis yang berat mulut dan ala-ala jual mahal itu, bukannya mudah Yamin ajak berborak kecuali hal-hal tertentu sahaja. Selalunya, selepas tengah hari Atiq akan hilang ke bilik, siapkan kerja-kerja proposal PhD-nya. Malah, kadang-kadang waktu minum petang pun dia tidak muncul di meja makan. Selepas siapkan minum petang, Atiq kembali ke biliknya tanpa mahu menunggu Yamin dan anak-anak buahnya minum di meja makan.

Namun hari ini, Atiq akan memberi tumpuan sepenuhnya pada projek – 'Dapur PKPK Rumah No. 16'. Idea ini datangnya daripada Atiq, dana ini dia yang kumpul dengan menggunakan proksi anak-anak Cikgu Hana. Malah, kakak Yamin yang di Jepun itu pun turut kirim sumbangan. Bunyamin cuma sumbangkan sotong sahaja. Bukan sekadar sumbang, tapi siap membersihkannya juga. Dia tidak mahu lagi ulangi kesilapan memaksa Atiq buat kerja di luar bidang tugasnya. Rasa bersalahnya, fasal ikan pelaling 50 ekor itu masih Yamin tidak dapat lupa.

Semalam Dr. Hawa juga buat kuih lopes, hari ini mereka hanya perlu memotong dengan benang serta golekan atas nyiur kukur dan bungkus air gula merah (brown sugar) untuk setiap rumah kejiranan mereka juga.

Yamin suka sangat kuih lopes Kak Wa. rasanya seperti yang arwah emak mereka buat.

Selesai subuh, Dhia menyertai yang lain di dapur. Rumah mereka sudah berbau nasi lemak dari depan sehingga ke dapur. Wanginya... wanginya! jerit Dhia dan Naufal. Terus belum apa-apa lagi, mereka makan dulu.

Bunyamin memandang Atiq yang cekap di dapur. Manakan tidak, Atiq sudah biasa dengan kerja-kerja dapur, sebab ibu meninggal sewaktu Atiq berumur 12 tahun. Adiknya-adiknya masih kecil tika itu. Dia tak mahu ayah berkahwin lagi, jadi dia cuba cekap di dapur dan menguruskan rumah tanpa disuruh. Lalu ayah tidak perlu isteri untuk mengurus mereka empat beradik, kan.

Begitu cara fikir Atiq, 15 tahun lalu.

Ayah dan ibu meninggal pula meninggal waktu Yamin 15 tahun, dia dibesarkan oleh Kak Wa dan Kak Hada.

Cerita sedih mereka hampir sama, walau perjalanan hidup mereka berbeza. Itulah permulaan  kisah yang menyatukan mereka dalam sebuah bingkai kenangan....

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggal emak tinggal saudara,

Kerana kasih hamba turutkan!

 Eh, macam tidak kena pula pantun ini kan, sebab Yamin tahu kisahnya dengan Atiq akan jadi cerita yang elok-elok dan indah. Lalu, selepas urusannya selesai hari ini, esok pagi dia cadang untuk belikan roti krim jagung Gardenia, untuk Atiq!

Tanpa sedar, ada cerita lain yang mengubah hari-harinya, selepas itu!

 ________

Nota: 

Cerita ini khas buat yang menunggu. Maaf, versi tidak edit, dan terima kasih kerana sabar menunggu cerita kecil ini.

11 comments:

  1. Insyaallah, jadilah buat pengubat rindu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah . ... akhirnya boleh jgk membaca lanjutan cerita... terima kasih kak su

      Delete
  2. 😍 terima kasih kak su kerana masih menulis.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Kak Su..
    Mmg sabar menunggu sambungannya 😘

    ReplyDelete
  4. Mana sambungannya lagi.... lama tak abca tulisan kaksu yang manis menawan kalbu.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Kak Su menulis kisah ini. Sangat merindui untuk baca cerita-cerita dari Kak Su. Tak sabar nak tunggu sambungan kisah ni. hehe.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih, kak su. Terubat rindu☺️

    ReplyDelete