PROLOG
Selamat
Datang, Rose!
BUNGA
ROS
Inggeris di tepi dinding, berbunga lebat. Memercik. Warnanya yang sepatutnya
merah jambu muda itu selalunya bertukar jadi putih. Agaknya kurang bajakah?
Atau kurang kasih sayang...?
Di halaman rumah sewa dua
tingkat ini, bunga ros tanpa duri selalu menjadi bunga kesayangan bude. Sejak paman pergi, inilah antara ikatan
yang menghubungkan bude kepada paman;
serta masa lalu mereka yang warna-warni. Yalah, mereka berdua tidak sempat tua
bersama.
Hari ini 18 April, dan
sepatutnya ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-28. Tidak seperti tahun-tahun
akhir hidup mereka, tahun ini bude
bermusafir dan bercuti dengan teman-temannya. Cuma kali ini, pada tarikh itu bude berdiri di depan taman kecil
mereka. Ada hadiah yang sangat indah menunggu bude hari ini. Hadiah seindah dan sewangi bunga mawar Inggeris,
barangkali!
Bude
tanpa paman – bagai bulan tidak ditemani bintang. Bulannya tentulah bude: gebu-gebas, bulat dan besar comel. Yang tertinggal kepadanya tentulah taman kecil ini! Taman dengan bunga-bunga yang hanya
beberapa buah pasu cuma: cempaka telur, melur dan mawar.
Taman paman, lebih banyak
diserikan dengan pokok pasu berdaun hijau – lebar, kecil, halus, besar dan
pelbagai. Oh ya, di sampingnya ada juga sepohon lemon yang baru berbuah kecil; rumpun-rumpun
nanas yang selepas dua tahun baru berbuah; mahkota dewa berbuah merah yang
kata orang bijinya ubat sementara luarnya racun; pokok mulberi yang manis buahnya kala
hitam ia ranum; sepasu pokok teh Cameron Highlands serta buah tin warna ungu
yang masam rasanya.
Semuanya ditanam dalam
pasu, berbaris-baris ikut suka hati!
Pagar depan yang dipisahkan
dengan tanaman pokok sepit udang dua warna – kuning-jingga dan merah, telah sembunyikan
taman ini daripada pandangan orang, tentunya. Aduhai, kala hujan turun, cantik
juga taman tanpa tuan ini.
Benar...
Apa-apa yang paman tanam
memanglah cantik pada pandangan bude.
Kononnya, tangan bude ini panas – apa-apa yang bude tanam akan kering tak bertunas!
Bukan semua orang pandai bercucuk tanam, begitulah kata bude memberi alasan setiap kali dia malas berkebun. Namun sejak
paman pergi, mahu tak mahu... suka tak suka... bude harus mencurah kasih pada taman kecil ini. Taman ‘pusaka’ yang
dibina dengan kasih sayang.
“Kak Uya, kakak dengar
macam ada bunyi anak kucing duk iau-iau belah-belah sana tu.” Adik sepupu bude yang baru berkahwin berkata sebelum
menghidupkan enjin kereta. Suaminya sudah ke pejabat. Sang pengantin baharu itu
tinggal di rumah ini, sementara berpindah ke rumah sewa sendiri.
Kawasan ini memang banyak
kucing! Sering pula penghuni yang tidak suka pada kehadiran kucing, kompelin
dengan populasi kucing jalanan yang semakin banyak. Puncanya, ada ramai penghuni
yang suka memberi makan kepada kucing – menjadikan Lorong 7N ini, tempat kucing
gelandangan mesyuarat, memandu kasih, bersembunyi, berlindung, bercakaran.
Bude sendiri
tidak membela kucing. Kalau kucing Aunty Mariah – Si Edgar dan Si Mirul –
datang, bude langsung tak ada makanan
untuk diberikan.
Kucing bukan haiwan
kesayangan bude. Suka tengok tetapi
bukannya untuk jadi haiwan kesayangan. Sepanjang hidup dengan paman, rasanya
adalah sekali dua mereka membela kucing. Itu pun tidak lama. Si Koko yang sakit
buasir sehingga terkeluar ususnya itu, doktor haiwan cadangkan ‘dimatikan’
setelah dua kali dirawat pun tidak berjaya. Mereka tinggal Koko di klinik
haiwan seperti yang disarankan – dan jasad Koko klinik yang uruskan.
Kemudian ada pula anak-anak
kucing angkat Si Kabu dan Si Keanu – itu pun ditinggalkan, tidak pernah
diambil-ambil di rumah Mak Lang Fidzah dan Pak Lang Boy.
Pernah, beberapa bulan
sebelum paman pergi pun, bude nyatakan
hasrat hendak bela kucing. Lama berfikir, paman memberi syaratnya. Syaratnya, bude mesti urus dari A-Z. Dan bude pasti, bude tidak mampu mengurusnya bersendirian. Selama ini pun, paman yang
urus banyak hal dalam rumah ini.
Bude mencapai
hos membuka pancur air untuk menjurus taman kecil sekangkang kera ini.
Tiba-tiba bunyi iau itu semakin kuat. Setiap kali air deras menyentuh bunga ros
Inggeris tu, bunyi anak kucing menangis bergema lagi... dan bergema lagi.
Bude hentikan
air dan menuju ke pasu tanpa tanah sebelah bunga ros Inggeris tu.
Masya-Allah...
Di dalamnya bude nampak Rose untuk pertama kalinya.
Kecil dengan kelopak mata bersalut nanah, membengkak dan bulat bagai bola itu boleh
pecah – bila-bila masa. Kecil tidak berdaya. Berdiri dengan dua kaki lagi
memegang pasu kosong itu, mengharap simpati. Dia terkurung di situ, entah sejak
bila. Kelaparan barangkali. Badannya yang hitam seluruhnya itu kuyup dimandikan
bude pagi itu.
Mereka saling
berpandangan sejenak....
Hai, Rose!
Membaca sambil terbayang Rose
ReplyDeleteAssalamualaikum, saya dtg ke sini dari selesainya saya membaca Biru Ungu Cinta cetakan 2018.. dan sedang mencari surat2 Seera, tpi tidak jumpanya di sini.. jika boleh bertanya, adakah surat2 itu sudah tidak lagi diletakkan lagi dalam blog ini ?
ReplyDelete