Friday 17 April 2020

[5] Tulis Nama Atas Awan

oleh: Noor Suraya
(VERSI BELUM EDIT)


DUNIA ini ditegakkan oleh empat tiang. Ilmu para ulamak; keadilan orang yang memerintah; sedekah orang kaya; dan doa orang fakir.
Begitu pagi ini, Atiq lalui hari kesepuluh PKP di rumah Dr. Hawa. Tuan rumah yang menyenangkan, anak dia yang baik-baik, anak-anak saudaranya yang cerdik serta adik-adik Dr. Hawa yang penuh warna-warni – Kak Hana dan Bunyamin.
Namun, Atiq inginkan lebih daripada itu. Dia ingin membantu negeri yang dia sedang tumpang tinggal saat ini. Dia ingin bertawasul atas kebaikan yang insya-Allah ingin dia kerjakan itu; mudah-mudahan Allah memberi kebaikan kepada keluarga Atiq sendiri yang nun jauh di hujung peta. Tempat di mana langit bertemu laut, angin menulis kata-kata cinta atas awan putih bersih. Laut bersisik, dalam empat beza warna hijau: Subhanallah.
Tetapi, bagaimana dia dapat memberi cadangan pada Dr. Hawa. Dia sekadar menumpang dan dia tidak ada wang yang lebih. Saat ini yang dia ada, hanyalah sekadar kudrat dan buah fikiran yang tidak seberapa. Ya Allah, berilah ruang untuk aku memberi; bukan sekadar hanya menerima.
Dia suka tinggal di sini, di rumah Dr. Hawa ini. Kata Dr. Hawa, lain kali kalau Atiq terpaksa datang ke Serdang untuk urusan PhD-nya, dia tidak perlu sewa hotel atau bilik, dia dialu-alukan tinggal di sini. Baru-baru ini juga ayah sendiri telah menelefon bercakap dengan Dr. Hawa, menyampaikan ucap terima kasih kerana menumpangkan Atiq; serta minta maaf, sekiranya Atiq telah menyusahkan Dr. Hawa sekeluarga. Ayah risau, kalau-kalau Atiq tidak pandai bawa diri di rumah Dr. Hawa.

Pergi ke hutan memburu rusa,
    Rusa berjemur di tengah panas;
Kalau pandai menimang rasa,
   Jangankan tepi, di tengah tak lemas.

Sebenarnya, Atiq membuat kajian berkaitan dengan monyet mata bulat yang boleh memalingkan lehernya, 180 darjah itu. Jadi, banyak masa selepas habis semester satu dan dua ini, dia akan kembali ke Belitong. Dia akan menggunakan makmal tempatan untuk kajiannya; dan dia terpaksa masuk hutan untuk pemerhatian haiwan purba itu – palilean, dalam bahasa Belitong dan Tarsius Bancanus Saltator.
Atiq membuka nako dapur, di luar sudah cerah. Di laman kecil tanah belakang rumah ini, Bunyamin sedang usahakan taman herba untuk kakaknya. Entah hidup atau mati segala tumbuhan baharu dengan cuaca Bangi yang panas ini. Tapi tentu sahaja panas lagi cuaca Belitong, kampung halaman Atiq. Selain serai, pandan, daun kari dan pokok mengkudu yang telah sedia ada, adik Dr. Hawa tanam juga pokok kaduk yang dia jumpa di longkang depan rumah.
Kak Mar jiran depan rumah Dr. Hawa ini telah beri anak-anak cekur dan ranting pokok lemuni serta serai kayu. Bunyamin tu ramah-tamah sangat, saat dia ampai baju di laman depan tu, sempat lagi bertegur sapa dengan isteri kepada Pengurus Operasi Gas Malaysia tu.
Siap bertukar cerita tentang anak kucing tiga ekor di rumah ini, dengan cerita anak kucing Kak Mar yang tiga ekor itu – Otaru, Chitose dan Sapporo. Mujurlah, Kak Mar sekeluarga ke Hokkoido bulan Januari lagi – kalau tidak mahunya mereka dikuarantin sebagai Kluster Hokkaido pula. Begitu cerita Bunyamin sewaktu mereka sekeluarga makan beberapa hari yang lalu. 

Lalu, Tariq menambah dengan suara cemas, “Nasib baik kita tak jadi pergi ziarah Mak Da kan, emak!”
“Ya, Allah itu sebaik-baik Perancang,” balas si emak yang lebih suka mendengar daripada menganggu Bunyamin bercerita.
Meja makan adalah tempat mereka sekeluarga berkongsi cerita dan anekdot; sebelum semua orang hilang dalam bilik masing-masing sementara tiba pula waktu minum petang. Selalunya, hanya Bunyamin yang akan berehat di ruang depan sambil menonton Netflix. Manakan tidak, dia tiada bilik yang jelas. Bilik studi di kamar atas tu, kalau siang hari Zara dan Tariq guna untuk belajar. Malaslah Bunyamin hendak hampar lembek untuk tidur sambil dengar cikgu sekolah atau cikgu tuisyen atas talian sedang mengajar. Tidak seperti Tariq, Zara suka ikuti kelas tanpa pendekap telinga.
Bilik depan pula, Kak Wa guna untuk bekerja dari rumah. Semasa PKP ini, Kak Wa tidur dengan anak-anaknya dalam bilik depan tu. Sementara bilik belakang pula untuk Kak Ha dengan anak-anaknya. Bilik tamu bawah, untuk tamu dari Seberang. Bunyamin ini jadi gelandangan di rumah kakaknya sendiri.
“Kebun herba tu sudah berapa peratus menjadi?” soal Kak Ha, selepas Bunyamin habis bercerita fasal Kak Mar dan kucing-kucingnya.
Sekejap sahaja, Bunyamin kena kutuk dengan Kak Ha fasal kebun herba dia. Kakaknya itu sempat kenyit-kenyit mata dekat Bunyamin. Persoalannya, hanya mereka berdua sahaja tahu. Atiq seperti biasa tekun makan, atau bangun ke belakang untuk menambah apa yang kurang. Sebenarnya, dia segan untuk makan bersama-sama keluarga Dr. Hawa. Dia selalu pura-pura sibuk untuk tidak berlama-lama di meja makan.
“Yalah, mana ada nurseri pokok buka saat ini, kecuali hendak beli benih pokok sayuran dan bunga di EconSave. Mungkin cita-cita Yamin ini akan berlalu, setelah berlalunya PKP nanti.” Begitu usik Kak Hana, esoknya, sewaktu mereka sekeluarga makan malam pula
“Sarapan pagi apa, menteri dapur?” soal Bunyamin dari belakang.
Ternyata yang sedang membalikkan roti di kuali leper terkejut bukan kepalang. Aduhai, pagi-pagi sudah buat Atiq terkejut. Habis cerita berhenti mengejut! Hesy!
Bunyamin sebenarnya, ingin ambil plastik berisi sampah sebelum lori datang. Yang sungguh menghairankan tu, kenapa sampah musim PKP dilaporkan tidak sebanyak seperti sebelum PKP ini? Orang berjimatkah, sehingga tak ada benda yang berbaki? Orang masak sendiri, jadi tiada sangat bekas makanan ‘pakai buang’ perlu dibuang? Atau apa?
Ini bukanlah kali pertama Bunyamin tinggal dalam tempoh yang lama di rumah kakaknya. Setiap kali di sini, tugasnya seperti biasa membuang sampah! Dia yang lantik dirinya sendiri. Begitu juga sejak berhari-hari di sini. Ya betul! Bukan kerana si manis dari Pulau Belitong itu pagi lagi sudah ada di dapur. Jangan hendak tuduh begitu ya! Jangan sekali-kali!
Kak Wa sedari dulu, sejak balik dari UK selepas habiskan ijazah doktor falsafahnya lima tahun dahulu – sudah tidak pernah ada orang gaji. Apa yang dia mampu, dia buat – kalau tidak dia tinggalkan sahaja dahulu. Kak Wa jenis cekap menguruskan rumah tangga, apatah lagi sejak suaminya meninggal. Cuma masalahnya, dia tidak mahu menyuruh anak-anaknya itu membantu. Semua kerja dia hendak buat sendiri, kalau boleh hendak tolonga ambil peperiksaan untuk anak-anaknya itu, sebab kasihan dan kasih sangat!
Bunyamin menunggu, si muka bersih licin itu berkata-kata.
“Roti telur!” jawab Atiq dua patah, tanpa mengalih matanya yang cantik bagai biji badam itu dari tungku dapur. Bagaikan kalau dia pandang Bunyamin, roti yang baru diterbalikan itu akan hangus.
Roti telur! Kemudian, ditambah berpatah-patah lagi di dalam hati. Ya, kalau ikut kata Naufal dan Dhia – roti celup telur. Tapi, french toast menurut sepupu mereka, Zara dan Tariq. Naufal yang suka makan nasi sehari lima kali, tidak suka apa-apa makanan berbunyi nama Inggeris. Mereka terbiasa ada pengasuh dari kampung sewaktu abah dan mama mereka bertugas di pedalaman.
Sementara, anak-anak Dr. Hawa pula suka masakan berbunyi Perancis atau Inggeris. Rumah ini ada begitu ‘banyak warna’. Dan, kata hati Atiq – biar laut itu masin tetaplah ikan itu tidak masin. Naufal dan Dhia orang Timur dan Zara serta Tariq yang pernah belajar di UK, beberapa tahun, suka menjadi orang Barat. Dan Atiq ini, orang pulau – ikan dan sambal, makanan kesukaannya!
Hari ni Atiq cuba mengurangkan stok telur yang pelbagai saiz, juga ‘kecacatan’, serta ton warna. Minggu ini, Ketua Rumah Interim beli sepapan telur, 30 biji. Telur kali ini tidak mengikut piawaian gred sebenar. Kulit telur tu berbenjol pun ada, berjeragat, cerah kuning berbintik seperti buah lai pun ada. Aduhai. Besar sikit daripada telur puyuh pun ada banyak butir.
Agaknya, orang paksa ayam-ayam muda ini bertelur ke untuk memenuhi keperluan permintaan? Lucu sangat bentuknya.
“Ada madu dan mentega?”
“Masih ada. Er....” Suara Atiq berhenti di di situ. Nak pesan ke tak, ni?
 “Ya.” Jawab Bunyamin. Oh, mahu berkata-kata juga cik kak ini.
“Nak minta beli yis, boleh?” Dia cadang hendak cuba buat bun sendiri. Dia nampak caranya mudah sahaja di Internet.
Sebenarnya, Atiq boleh sahaja menulis pada kertas di peti sejuk, untuk memesan; atau letak pesanannya di grup WhatsApp – Rumah No. 16 ni. Tapi, dia tidak mahu Naufal dan Dhia menaruh harapan. Mana tahu, kalau benda yang dia hendak buat ini tidak menjadi. Kasihan kan beri harapan palsu pada anak-anak. Apatah lagi dia hendak ajar sains topik penapaian pada anak-anak itu, kalau yis tidak ada.
Selain itu, kesian pada Naufal, macam tak cukup bekalan roti sahaja. Anak didiknya yang rajin mengaji tu, harus diberi ganjaran.
“Mauripan?”
Eh, tahu pula dengan nama aneh tu? Belum sempat Atiq hendak Google tunjuk gambar pesanannya, Uncle Bun siap boleh hafal.
Yalah, macam mana Bunyamin tidak hafal. Beberapa hari sudah sewaktu dia sedang beratur untuk membayar, tiba-tiba ‘tukang kedai mengumumkan’ dengan suara lantang. “Ha, siapa hendak mauripan, tu baru sampai. Lalu, para Ketua Keluarga Interim (bahagian membeli-belah) keluar barisan dan mendapatkan pek itu.
“Tapi hari membeli-belah baharu, tiga hari lagi kan?” kata Atiq, perlahan.
Bunyamin mengangguk. Kak Wa la ni, tegas sangat undang-undang di rumah ini. Ini, baru sahaja PM umum, PKP Fasa 2 ditambah sehingga 14 hari lagi. Tidak tahulah, PKP ini ada berapa fasa. Makanya, rambut Bunyamin yang ikal ini tidak tahulah mengembang macam mop ke, helmet angkasawan ke, atau sarang burung. Hodoh sangat dia pandang di cermin pagi tadi. Kurang-kurang kalau boleh trim sikit pun jadilah. 
“Atiq, saya ada benda nak bincang, sekejap. Boleh tak?” kata Bunyamin, perlahan. Mukanya sudah berubah jadi serba salah. Merah sebab Bunyamin sangat malu untuk menyatakan. Namun sejak lapan hari di sini, separuh dari masanya, Si Bunyamin memikirkan hal yang satu ini. Dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan.
“Ya. Saya ni sebenarnya, malu untuk mengaku.” Kata Bunyamin, teragak-agak.
“Ya?” Atiq ingin mendengar dahulu, dia tidak mahu malu lagi memikirkan yang bukan-bukan.
“Saya ini bapa saudara kepada anak-anak buah saya, dan adik lelaki kepada kakak-kakak saya... tapi, tetap saya tidak berani jadi imam untuk solat berjemaah di rumah ini?” Lega rasanya selepas Bunyamin bercerita sebahagian masalahnya.
“Saya sudah malu, hari-hari membiarkan hanya Tariq yang jadi imam. Saya rasa, saya sebagai orang tua yang tidak boleh diharap. Sebenarnya, saya tak suka solat sendirian dalam bilik. Sedangkan, semua orang beramai-ramai solat di tengah rumah.”
Atiq memandang Bunyamin di depannya. Lelaki yang boleh dikatakan ada segala-galanya, ada rupa, ada pekerjaan, disayangi siapa saja yang mengenalinya. Betullah, tiada siapa yang sempurna, kan!
Yang membuat Bunyamin ingin berkongsi masalahnya, hanyalah apabila dia mendengar dengan lemah lembut bagaimana Atiq menasihati Zara.
Zara, cuba lihat buah-buahan ini. Kala itu, di depan Zara ada beberapa biji oren dan sesikat pisang. “Allah tutup buah ini dengan kulitnya, tujuan untuk melindunginya. Begitu juga, kenapa Allah suruh orang perempuan bertudung. Allah, melindungi maruah kita dengan menyuruh kita bertudung dan menutup aurat.
Kemudian, Atiq bacakan surah, yang Bunyamin tahu surah apa. Atiq mengupas ayat itu dengan jelas dan terasa dekat. Penuh hikmah, lemah lembut, dan penuh keibuan.
“Surah apa yang Encik, masih ingat? Yang selama ini, Encik alunkan dalam solat.” Atiq bertanya, dengan hati-hati agar tidak mencalarkan ego Bunyamin.
Bunyamin mengeluh. Ya, dulu dia pernah hafal begitu banyak surah, terutamanya surah-surah dalam Juzuk 30 – Amma. Rupanya, Quran ini kalau kita tinggalkan, dia juga meninggalkan kita, kan! Astagfirullah al-Azim.
Tiga Qul kut.” Lama baru Bunyamin bersaudara.
 Ya Allah, untuk hafal Empat Qul pun dia tak ingat rupanya, itu belum lagi surah fasal Gajah, Semut, Kuda Perang, Lebah, serta Surah Lembu Betina yang sangat panjang itu. Apa yang dia dah buat dengan hidupnya selama 33 tahun ini?
“Mak Wa, Uncle Bun ada di belakang ni!” jerit Dhia di depan muka pintu dapur. Bunyamin memandang Atiq, dan Atiq menunduk. Masalah Bunyamin ni nampak kecil tetapi sebenarnya besar. Sekiranya PKP ini berlarutan sehingga bulan puasa, siapa yang akan mengimami solat tarawih? Takkanlah Uncle Bun asyik hendak solat dalam bilik sahaja.
Semalam pun Naufal dah jelaskan, solat berimam tu, pahalanya 27 kali daripada solat bersendirian, Uncle Bun. Ustaz dalam TV cakap. Tentu Naufal dan Dhia akan bertanya, kenapa asyik Abang Tariq saja jadi imam. Mereka berdua sangat memandang tinggi pada ayah saudara mereka itu. Itu yang membuat Bunyamin tidak selesa. Dia tidak mahu dipandang rendah oleh anak-anak saudaranya. Dia tidak mahu membuka aibnya sendiri.
Yamin, yang lebih penting, apa yang Allah pandang kita. Kalau cerita di Netflix dia boleh habiskan daripada satu filem ke satu filem setiap petang – kenapa tidak dia cuba menghafal daripada sebuah surah ke sebuah surah yang lain.
Selagi, nyawa belum bercerai daripada badan, masa untuk belajar ada, dan tidak pernah berakhir.
Uncle Bun, lori sampah dah berlalu.” Sambung Dhia.
Aduhai, janganlah masa dia untuk menghafal turut berlalu.

_____
Catatan:
Ini versi belum edit dengan sempurna lagi ya. Nanti lapang kaksu baiki ejaan dan ayat yang tunggang-langgang ni :(

2 comments:

  1. Moga idea kak su mencurah curah, serta moga kak su sihat selalu. Tak sabar saya nak baca lebih lagi. 😍

    ReplyDelete
  2. Ok.. Teringt post fb Kak Su pasal telur hari tu..

    Yelah.. Manusia itu mana sempurna walaupun Allah telah cipta sebaik2 ciptaanNya..

    ReplyDelete