Monday 27 April 2020

[6-i] Tulis Nama Atas Awan


Oleh: Noor Suraya



Hari terakhir PKP – Fasa 1
(i)

“YAY, seronok la cuti #dudukdalamrumah ini bersambung. Dhia suka la belajar di rumah dengan Kak Atiq, benda susah pun jadi senang,” jerit Dhia sewaktu PM yang mereka sudah gelar ‘ayah’ berucap di TV.
“Mana tidak seronok, sekolah sama banyak dengan main.” Kata mamanya. Lepas tu, tak payah pakai baju sekolah. Hari-hari Dhia boleh ganti baju dan gaun sesuka hati. Yalah, baju-T Frozen la, Minnion la, baju kurung bunga-bunga la, malah kadang tu dia pakai baju tidur ke ‘Sekolah Cikgu Atiq’.
“Kak Atiq, boleh tunjuk dalam peta tak, dekat mana kampung Kak Atiq tu?” Naufal sudah belajar arah Utara-Selatan, dan Timur-Barat dengan Kak Atiq pagi itu. Tapi masih tidak jumpa di mana Belitong.
Uncle Bun yang sedang menghafal surah di ruang tamu memandang ke arah ‘Kelas Cikgu Atiq’ di ruang makan. Sebagai pilot, Bunyamin tahu di mana Belitong. Malah, Lion Air Flight JT610, pernah jatuh terhempas pada 29 Oktober 2018 dan 189 terkorban di situ. Menyedihkan.
Itulah sebabnya, kala Kak Wa perkenalkan Atiq dari Belitong – hatinya juga jatuh terhempas pada sekujur wajah itu. Dia rasa hatinya sudah terkorban ketika terpandang cincin belah rotan di jari Atiq. Belum pun hatinya sempat mendarat, hatinya sudah dia jarakkan – jauh, sejauh-jauhnya. Waktu itu, penjarakan sosial satu meter belum popular lagi, belum banyak SOP dihebahkan lagi.
Belitong membawa kenangan sedih... ada kawan-kawan yang Yamin kenal meninggal. Sebelumnya, pada penghujung Disember tahun 2014 pun penerbangan AirAsia (Indonesia) Pesawat 8501 yang melintasi Laut Jawa, terhempas dekat Belitong. Hanya 106 jasad daripada 162 penumpang sahaja yang ditemui.
Selama ini, Belitong membawa konatasi yang sedih dan menyedihkan. Itu sebelum dia kenal sebuah wajah yang tenang-menenangkan....
Selama ini, mujurlah (begitu yang dia rasa) dia tidak pernah ke laluan kepulauan itu. Jalan udara Yamin selalunya ke Eropah. Dia tidak suka ke negeri-negeri kecil, sebenarnya. Apabila kebanyakan lapangan terbang sebelah Eropah mula ditutup – dan ketika PKP di Malaysia ini berlangsung – Yamin memilih untuk bercuti pilihan.
Dan rupanya, hikmah ada di rumah Kak Wa ini. Sudah beberapa hari dia belajar menghafal. Hal yang tidak pernah termasuk dalam perancangan asalnya.
Cadangan Atiq hari itu, buat permulaan apa kata dia imamkan solat waktu siang – Zuhur dan Asar. Memandangkan solat waktu siang, bacaannya tidak perlu kuat. Tak berbunyi. Jadi baca sahaja mana-mana surah Tiga Qul yang sudah Encik hafal tu. Pandai sahaja Atiq ‘bersubahat’ dengan dia bab mengelabui mata anak-anak buahnya. Sekiranya, Kak Hana tahu ‘mampus’... habis seluruh rumah ini tahu, termasuk ‘Anaks Mengkudu’ tu.
Pandan, Kantan dan Inai, sudah ada kandang di luar rumah. Kak Mar depan tu yang berikan kandang untuk ‘Anaks Mengkudu’ termasuk segala peralatan ‘anak kucing’. Kak Mar sudah beli yang baharu untuk anak-anak Hokkaidos dia. Itulah, hobi membeli-belah jiran depan itu ‘membolehkan’ Bunyamin bukan setakat mendengar malah melihat kenderaan PosLaju, van Ninja, abang Grab Food, dan motosikal adik Food Panda – bersilih ganti sepanjang hari. Itu tidak termasuk, COD barang-barang lainnya yang tidak ada cap jenama pada kenderaan; untuk Yamin kenal pasti. 
Bunyamin membuka pintu depan juga, sesekali matanya mengawas Pandan, Kantan dan Inai. Selalunya, selepas ‘Kelas Cikgu Atiq’ berlalu, Naufal dan Dhia akan bawa mereka masuk sekejap untuk bermain-main sambil menonton #Qurantime dengan ibu guru mereka. Mereka berdua sudah mula suka dengan nama yang diberikan oleh Kak Atiq. Kalau ikut Naufal dia hendak letak nama Superman, Spiderman dan Batman.
Mak aiii, manalah sesuai. Kucing tu ‘berlemoih’, hidung tersumbat hingus kering kerana selesema; serta anak-anak kucing itu penakut sungguh, jadi macam tu nak letak nama adiwira hebat-hebat.
Balas Zara pula, “Alah, Amerika tu cerita adiwira hebat-hebat, tapi hendak selesaikan masalah Covid-19 pun tak terkawal banding negara kita yang cerita drama dia sekadar jenis tangkap leleh, berebut tunang orang, mak mertua garang, suami pukul isteri.”
Semua mata memadang Zara waktu itu, mata Kak Wa yang membulat sekali. Zara? Zara yang tidak tengok TV boleh mengulas begitu?
“Kawan Zara cakap.” Katanya sambil ketawa. Dan seluruh 'ahli majlis tertinggi meja makan’ juga turut mengata sambil mengulas fasal statistik kes di US dan sikap Presiden Donald Trump pula.
Sebenarnya, Dhia dan Naufal ni, peminat tegar Dato’ Dr. Noor Hisham. Setiap hari mesti duduk di kerusi depan menonton siaran langsung sidang akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia. Katanya, kenalah bagi perhatian – bos abah bercakap tu, Mak Wa. Selepas itu siap boleh komen pula: "Eh, bukan soalan  itu sudah bos abah jawab tadi, kenapa abang wartawan atau kakak wartawan ini tanya lagi." Amboi, pandai pula komplein. Hesy.
“Naufal, cuba tengok Malaysia kan duduk di sebelah Tenggara... dan...”
“Tenggara, Naufal belum belajar.”
Atiq melukis bulatan, lalu membahagikan ‘glob’ itu pada empat bahagian. Atiq menyuruh Dhia menunjukkan Utara-Selatan. Sementara Naufal ditugaskan menulis Barat dan Timur.
 “Tenggara terletak di antara Selatan dan Timur.” Lalu dia menerangkan kedudukan Malaysia di Tenggara dan Belitong letaknya di Tenggara Semenanjung Malaysia. Selain menunjukkan pula, Barat Daya, Barat Laut dan Timur Laut.
“Jumpa tak?” soal sang guru yang cantik itu. Matanya yang bujur itu dihela ke arah Naufal.
“Sekejap, Dhia naik atas pinjam glob Abang Tariq ya.” Tanpa menunggu izin daripada sang guru. Dhia yang mengenakan pijama separas lutut itu berlari ke atas. Entah mandi atau tidak si cilik itu, Atiq tidak tahu. Dhia kalau masuk ke ‘kelas’ wangi sahaja dengan bau bedak bayi si adik kecilnya itu. Tetapi rambutnya yang sentiasa kering itu membuat Atiq jadi waswas; serta akhirnya  Atiq percaya Dhia belum mandi.

Hal rambut menjadi isu, sebenarnya...
Rambut Naufal yang sudah macam mop itu, bukan apa-apa berbanding rambut Tariq dan lebih-lebih lagi rambut si paman mereka Encik Bunyamin tu. Tidak terurus! 
Bunyamin selesai menghafal Surah al-Kafirun dua hari yang lalu. Lengkap sudah. Kini, dia sudah ada Empat Qul untuk memulakan misi menjadi imam Rumah No. 16. Kata Atiq lagi, tidak perlu dia jadi macam Tariq, Surah Yaasin, al-Mulk, al-Waqiah, ar-Rahman, as-Sadjadah pun dia hafal. Ayat-ayat dalam juzuk Amma semua sudah ada dalam dadanya. Sejarahnya, sewaktu di UK dulu, Tariq masuk kelas hafazan bersama orang Algeria setiap kali hujung minggu di surau.
Tentulah, sudah banyak surah yang dia hafal. Sayangnya, selepas ayahnya meninggal, dia berhenti menghafal. Namun sejak Atiq ada, semangatnya kembali lagi. Dr. Hawa gembira sangat dengan perekembangan Tariq. Malah, Dr. Hawa siap bagi duit sebagai hadiah buat Atiq. Walau Atiq menolak, Dr. Hawa tetap hendak memberi dan menegaskan ini niatnya, dia sangat kecil hati kalau Atiq menolak.
Itulah... kadang-kadang kita berhenti untuk membuat sesuatu kebaikan untuk benda yang kecil alasannya. Kata Tariq, dia sedih sangat sebab Allah ambil ayahnya. Dia tidak terfikir, dia boleh kirimkan pahala untuk ayah di sana sekiranya dia membaca al-Quran. Begitu juga dengan Atiq, dia hilang semangat untuk menghafal apabila ayah berkahwin lain. Bagaimanapun, apabila Luqman memaksanya untuk memilih; dia jadi sedar – Allah tidak pernah berbuat begitu kepadanya. 

Allah sentiasa ada saat dia sedih dan senang. Lalu dia pilih untuk mencintai Allah; kalau boleh dia ingin jadi Rabaitul Adawiyah.  
Untuk Bunyamin?
Dia tidak ada kawan yang mengajaknya ke arah hal-hal membaca al-Quran ini. Betullah kata orang kalau kita berkawan dengan yang membuat minyak wangi, harumnya percikan wangian itu kita ‘terpalit’ juga. Macam kata-kata itu daripada pepatah Arab, rasanya. Bunyamin kurang pasti.
Dan sekarang, sejak kenal Atiq dia rasa, dia ingin jadi baik. Itu dia semakin pasti. Semoga Atiq tinggal lebih lama di sini. Yang manisnya, mereka ditemukan: di rumah No. 16 ini untuk mencintai Ayat-ayat Cinta daripada Dia yang Maha Pengasih.
“Ni, negeri Kak Atiq.” Jerit Naufal dan Dhia, kebetulan serentak.
Atiq, mengangguk. “Betul, hadiahnya kita boleh makan aiskrim selepas ini.” Ya, aiskrim yang Uncle Bun beli semalam. Sengaja, Atiq bagi alasannya. Sejak semalam dia ingin merasa Cornetto mini perasa karamel itu. Mujur hari ini, dia ada alasan yang kukuh.  
“Jauhnya, macam mana kita hendak pergi nanti! Kata Abang Tariq, selepas ni pun akan ambil masa yang lama untuk rakyat Malaysia ‘ke sana ke sini’.” Dan, untuk frasa ‘ke sana ke sini’ itu Naufal buat nada rap.
Hmm, kalau macam tu, Naufal dan Dhia boleh tulis mesej di atas awan. Nanti Kak Atiq baca dari sana. Awan kan boleh bergerak jauh.” Kata Atiq sambil ketawa kecil.
“Tulis nama atas awan???” jerit Naufal, tidak puas hati. Bunyamin yang sedang memandang IG Dato’ Rizalman mempromosi kuih loyang yang rapuh itu pun tidak puas hati dengan jawapan Atiq.
Tulis surat atas awan? Macam mana tu?
Ya, Atiq membalas dalam hati. Bunyinya macam pelik? Begitulah yang arwah datuknya beritahu sewaktu Atiq susah hati bagaimana dia bisa bertemu dengan datuknya. Datuknya sang pelaut. Datuknya bergantung pada rumah api untuk mencari jalan pulang.   

_____
Nota:
1. Bersambung ke (ii) aduhai macam ada pula nak cerita fasal, tiga lelaki yang rambut bagai mop tu pula. Sabar ya :D Cerita ini HANYA ada 7 episod.
2. Cerita ini versi belum edit dan semak ejaan ya.


13 comments:

  1. romantiknya kak su, tulis atas awan<3

    ReplyDelete
  2. Lebih dari 7 episod pun saya baca kak su. 😍 Ramadan kareem. Moga Allah beri kesihatan yang baik, kekuatan dan keberkatan buat semuanya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak boleh 🙄 ni pin dah terlebih episod, cadang nak buat 5 entri saja.😊

      Delete
  3. KakSu, terima kasih utk cerita yang manis. Ada kesalahan ejaan utk Covid-19 tu 😉

    ReplyDelete
  4. Rindu sy pada tulisan Kak Noor Suraya. Walaupun kita tak pernah kenal, tp sy ada hampir keseluruhan novel penulisan Kak Noor Suraya yang diterbitkan oleh JS Dan sy tak pernah jemu ulang baca novel yang sama berulang kali terutamnya novel Surat Ungu untuk Nuha. Dan hati sy jadi sangat sedih bila sy dapat tahu yg JS sudah berhenti terbitkan novel. Sedangkan sy berazam sungguh bila balik dari Australia, sy mahu borong semua novel dari JS. 😢

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Fiona, terima kasih singgah di sini. 🌷Kaksu masih ada beberapa buku, kalau Fiona nak. Tapi kena tunggu kaksu kemas dan ‘set-up’ ofis. Cerita ni pun tak boleh sambung lagi :(

      Delete
  5. Assalamualaikum kak su.. Semoga sihat2 sahaja..

    Cari buluh buat tabung,
    Bila cerita ni nak sambung?

    ReplyDelete
  6. Fizam, kaksu baru pindah, belum ‘set-up’ ofis; sekejap ya.

    ReplyDelete
  7. baru ada kesempatan membaca tulisan kaksu.. bila nak sambung ni..

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum Puan. saya membaca novel-novel yg diterbitkan lewat petang setiap hari semasa menunggu arwah ayah di perpustakaan kecil disediakan hospital selepas pulang dari kelas tambahan sekolah. . dan berazam membeli semua koleksi buku Puan. selepas itu, tahun 2018 dapat tahu Js dah tiada. sedihnya rasa hati. pertama kali baca Langsir Biji Remia kekalkan saya positif sentiasa meskipun tiba hari untuk tuntut jenazah arwah ayah dan emak di bilik mayat hospital. sungguh rasa Allah sayang.. lorongkan hati baca yg baik2. semoga terus berkarya ya Puan.

    ReplyDelete