Friday, 15 May 2015

[iv] Alang & Nuha: "Selamat Hari Jururawat, Nuha"


Mata Alang-Nuha bertentang sejenak. Mata isterinya yang merencong seperti kucing siam itu Alang tenung sekali lagi. Bagaimana dia dapat sarapan seorang-seorang di rumah ini, setiap hari tanpa Nuha yang manis. Tengok muka tak sapu bedak macam ni pun, Alang lihat sudah cukup indah. Hidup tanpa Nuha, bagai siang tanpa matahari, dan malam tanpa bintang!
Nuha jadi segan diperhatikan begitu, walau bukan tak biasa Alang memerhatinya begitu, tetapi dia tetap seorang perempuan: kadang-kadang rasa malu tetap ada. Cepat-cepat dia terus mengalih perhatian pada nasi lemak sambal tumis ikan masin. Sudah suam nasinya.
"Eh, tak baca doa?"
"Alang dah baca, Nuha kongsi ajalah." Balas Nuha yang sudah kantoi, sebab terus makan sampai tak ingat dunia.
Tiba-tiba dia berkata, "Alang buat kenduri, beli dan hantar keliling kampung." Yalah, sebab tu, dia awal-awal lagi sudah ke gerai tu, sebelum orang sekeliling rumah ini merancang menu untuk pagi Jumaat ini. Habis empat puluh bungkus nasi lemak kakak itu dia borong. Segera dia asingkan sambal tumis kesukaan Nuha terlebih dahulu. Nuha walau kecil begitu, dia boleh makan nasi lemak ini sampai tiga bungkus sekali hadap. Sama bahagian dengan Alang.
"Sebab?" Nuha sudah membuka nasi lemak gulai udang dengan kacang panjang pula. Walau hatinya sebu, tapi selera makannya masih menyala.
"Nuha kan dapat tawaran? Kenalah buat kenduri kesyukuran."
"Semalam, kata tak boleh?"
"Kenduri kesyukuran sebab dapat tawaran, bukannya sebab boleh pergi! Tengok tak dengar Alang cakap betul-betul, nanti nak belajar macam mana, cikgu cakap tak dapat tafsir baik-baik."
Nuha mencebik, suka-suka hati nak uji tahap IQ Nuha pula pagi ni. Mata Nuha sudah jadi panas, bila-bila sahaja dia boleh nangis sekali lagi.
"Pergilah, kalau nak pergi." Balas Alang mendatar. Dia sudah tidak mahu biar Nuha berteka-teki lagi.
"Alang halau Nuha la ni." Air matanya sudah jatuh ke bibir, dan gulai udang jadi asin tiba-tiba.
"Eh, pula dah! Apa pula halau, kalau halau tak kan siap buat kenduri."
Nuha terus jadi pening. Metafora atau apa ni? Tolonglah... Nuha tak faham.
"Beg besar depan almari tu siapa punya?"
"Kenapa? Alang pinjam beg abah."
Beg bapa abah waktu pergi haji zaman kapal layar dengan nama dalam tulisan cat yang besar itu masih menjadi tanda tanya. Untuk siapa beg tu, nak buat apa?
"Untuk Nuha?" soal Nuha.
Mengarut sungguh, Alang ni. Dan... Alang masih tidak menjawab pertanyaan isterinya.
"Eh, Nuha kalau studi pun duduk rumah ayah di Kajang. Tak perlu bawa beg apa-apa. Memang Alang nak halau Nuha, kan? Baik mengaku. Lagipun kemasukan bukan bulan Mei ni, September nanti. Mengakulah. Katakan Alang tak suka ke Nuha lagi."
Alang diam. Nuha sudah menangis.
Kenapa bertahun-tahun kahwin pun Nuha masih tak percaya Alang sayang dia sungguh-sungguh. Alasannya, Nuha tidak cantik macam orang. Alasannya, Nuha tidak dapat beri Alang anak-anak. Dan... semalam ada alasan baharu, Nuha tak ada ijazah!!!
Nuha tolonglah, Alang kahwin dengan Nuha sebab Alang sayang Nuha, itu sahaja. Tak ada alasan lain! Dan kalau sayang, kita sedia terima apa sahaja tanpa syarat!
Nuha sudah betul-betul hilang selera makan.
"Kalau Nuha tak ada nanti, suka la Alang. Boleh cuci mata, keliling kampung." Kata Nuha. Dia akan jadi cemburu dengan hidup Alang di sini nanti. Siapakah wanita yang akan menggantikan Nuha, menemani Alang sarapan setiap pagi?
"Nuha ni awat? Alang bagi izin belajar pun Nuha mengamuk lagi." Susah betullah kalau kahwin dengan budak kecil ni. Nuha matang kalau datang bab dia jadi jururawat, tetapi bab jadi isteri... macam ni la. Amboi, Alang... dia tu matang ke, semalam pun sudah kena syarah dengan Bad dan Li'a... baru ada sedar diri sikit!
Mata mereka bertentang sejenak. Habis, beg tu?
"Nuha tak akan pergi kalau, kalau Alang tak ikhlas kasi." Ya, itu keputusan Nuha saat ini. Dia membuka nasi lemak yang terakhir, sambal tumis sotong. Teh tarik Alang belum dia rasa lagi. Selalunya Alang memang pakar buat teh di rumah ini!
"Alang dah kasi dah. Tapi mana Alang tahu, lambat lagi Nuha akan pergi. Ingatkan esok luasa." Balas Alang. Hatinya jadi senang sekali. Kasi pun macam tak ikhlas kan!
Ohhh, jadi dia ada masa lagi untuk tunjuk kasih sayang pada Nuha, sampai Nuha tidak jadi sambung belajar. Rindu tau kalau Nuha tak ada. Alanggggg... pun beri izin separuh hati saja ni. KL tu jauh tau, nak balik ke sini kena naik bas, kereta api, kereta sewa, basikal semua ada!
Yalah, mana dia tak bimbang buatnya ada sesiapa jatuh hati ke Nuha dan goda Nuha dalam kelas, atau dalam kereta api... mahunya Alang mati beragan sebab sedih. Dia tidak mampu hidup sendiri kalau Nuha tak ada! Alang tidak mahu hidupnya sedih macam ayah kandungnya sendiri, yang mati kesedihan kerana tidak dapat hidup bersama dengan emak Alang. Alang cepat-cepat membuang cerita sedih itu, pagi ini.
"Beg tu...?" tanya Nuha, tak habis-habis lagi.
"Awat dengan beg?"
Jadi, ini persoalannya orang nangis tak sudah-sudah. Oh, jadi Nuha pun tak boleh kehilangan Alang ya? Baru tahu...!
"Oh, abah suruh himpun baju-baju lama dan hantar ke khemah pelarian. Alang kan..."
Nuha mesti tidak tahu, sekarang ni Alang sedang sibuk untuk membantu NGO -- Myanmar  Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia.
Kasihan mereka, mereka bukannya pendatang tanpa izin, tetapi golongan pelarian yang menjadi mangsa pembersihan etnik di Myanmmar.
Nuha, jadi sedih tiba-tiba, teringat akan anak-anak kecil yang terpaksa menyabung nyawa dalam perahu-perahu kecil di lambung ombak untuk menyelamatkan diri dari kekejaman manusia.
Nuha dan Alang saling berpegang tangan: dengan cerita sedih pelarian Rohingya pagi itu. Tidak patut betul mereka tamak makan nasi lemak sehingga tiga bungkus seorang, sedangkan saudara seagama mereka ada yang tidak cukup makan!



TAMAT

ps: Semoga pelarian Rohingya, diperlaku dengan adil. Didoakan mereka sentiasa dalam lindungan Allah. Amin.

2 comments:

  1. Kaksu, saya baru sempat godek-godek blog akak demi alang nuha dan NTS (if u remember me, i had commenting on ur post before). tiap kali baca penulisan yang guna bahasa sastera, perasaan saya sentiasa terbuai-buai. alangkah indahnya kalau saya bisa menulis dari hati seperti kaksu. saya mula meminati karya kaksu selepas NTS. gaya bahasa, olahan cerita..nangis sedu sedan toksah cerita la...sampai mama tanya hang baca novel ka hang potong bawang. hahaha sebelum saya merapu lebih lagi, saya doakan kaksu terus bisa menulis dengan bahasa yang indah sebab payah dah nak cari novel yang betulbetul novel. mostly, penulisan syok sendiri ja....and the reason why i stop reading the latest malay's novels. merapu banyak dengan bahasa tak senonoh. i am a kampung and classic girl living in the modern world. Yeah, everyone can write but their writing are not from heart but for money and for popularity. good luck kaksu :)

    ReplyDelete
  2. Kaksu, saya baru sempat godek-godek blog akak demi alang nuha dan NTS (if u remember me, i had commenting on ur post before). tiap kali baca penulisan yang guna bahasa sastera, perasaan saya sentiasa terbuai-buai. alangkah indahnya kalau saya bisa menulis dari hati seperti kaksu. saya mula meminati karya kaksu selepas NTS. gaya bahasa, olahan cerita..nangis sedu sedan toksah cerita la...sampai mama tanya hang baca novel ka hang potong bawang. hahaha sebelum saya merapu lebih lagi, saya doakan kaksu terus bisa menulis dengan bahasa yang indah sebab payah dah nak cari novel yang betulbetul novel. mostly, penulisan syok sendiri ja....and the reason why i stop reading the latest malay's novels. merapu banyak dengan bahasa tak senonoh. i am a kampung and classic girl living in the modern world. Yeah, everyone can write but their writing are not from heart but for money and for popularity. good luck kaksu :)

    ReplyDelete