Senyuman Dahlia
adalah embun yang mendinginkan, dan... abang ialah gunung yang terbakar itu! ~ Yang
Merindu
WADI,
benarkah senyuman Dahlia embun yang mendinginkan?
Subhanallah! ulangnya
berulang kali.
Parut hodoh itu telah
lama hilang, dan sejarah mereka bergaduh waktu sekolah itu telah menjadi
kenangan rupanya. Ya, kenangan yang manis.
Bilik air tetap riuh
sedari tadi. Yang Dahlia dengar saat ini sekadar huhuhu, hahaha, lalala, yayaya... dan diakhiri dengan dungdungdung....
Wadi mengulangi korus
sekali lagi sebelum menyanyi secara solo. Kaki karaoke barangkali Wadi ni zaman
dia bujang dulu ni. Sedap pula suaranya...
Raja dalam rumah
Buat kira-kira
Suri dalam dapur
Makan roti gula, hei!
Buat kira-kira
Suri dalam dapur
Makan roti gula, hei!
Dayang tepi kolam
Mahu jemur padi
Datang burung hitam
Pagut batang hidung
Mahu jemur padi
Datang burung hitam
Pagut batang hidung
Hidung… hidung… hidung...
Dan Mawar ‘menyanyi’
sekali lagi...
Rajin sungguh ‘raja
dalam rumah buat kira-kira’, kan! kata hati kecil Dahlia kala mendengar suara
Wadi. Dan... rajin sungguh dia melayan si kecil.
Setengah jam
kemudian, kedua-dua insan yang Dahlia cinta itu sudah siap memandang cermin.
Wadi menyisir rambut anaknya walaupun Si Tasneem, sepupu Dahlia itu sudah
berkali-kali melarang Wadi berbuat begitu. Rambut yang basah biar ia kering
sendiri, Wadi. Si pakar tentang rambut itu memang suka sangat memberi nasihat
fasal kecantikan. Tetapi Wadi tetap Wadi, dia selalu sahaja tidak sabar melihat
Mawar cantik seperti kelopak bunga. Kasihan anak ayah, kecut jari-jari semua
kerana lama bermain air tadi. Dia menggosok tangan si anak, supaya rasa sejuk
dan kecut itu cepat berlalu. Dia peluk sekejap supaya panas badannya
dipindahkan ke anak dengan cepat.
Mujurlah Mawar
bukannya jenis yang mudah demam, biar bermain hujan atau lama bermain air,
alhamdulillah, sihat sahaja anak ayah itu.
“Sudah comel anak
ayah ni. Boleh dah pergi jumpa nenek ya, sampaikan salam ayah dan ibu pada
nenek. Assalamualaikum.” Wadi melepaskan puterinya berlari ke kamar Puan
Juharah selepas dia mencium anaknya dua kali.
“Cantik!” kata Wadi,
perlahan sangat. Tetapi sempat ditangkap dek telinga Dahlia. Tak malukan, puji
anak sendiri Wadi ni! Rambut Mawar keriting betul, kalau sudah kering nanti.
Wajahnya saling tak tumpah seperti Wadi sewaktu kecil. Begitulah Puan Juharah,
ibu Wadi menghebah-hebahkan pada orang yang memuji rambut Mawar.
Ya, mana tidak bangga
si nenek apabila cucunya mengikut wajah anak lelakinya yang ‘cantik segak’
bukannya sebelah si ibu yang tidak secantik mana. Tapi kalau datang bab budi
bahasa, dia berharap si cucunya ini menurun menantunya Dahlia itu. Sungguh
pentingkan diri sendiri kan, Nenek Juharah ini, kan!!!
Betullah kata orang,
cantik itu tempatnya di hati – Dahlia itu nampak cantik kerana peribadinya yang
baik itu... begitu sang nenek membuat kesimpulan tentang menantunya itu.
Mengenali Putri Dahlia bertahun-tahun dia bersyukur Dahlia menjadi menantunya
bukannya perempuan lain.
Dia pernah menghalang
Dahlia daripada memilih Wadi kerana dia kasihan anak Megat Qais itu jika
bersuamikan Wadi anak lelakinya yang suka berfoya-foya tu.
Ya itu cerita 15
tahun dahulu!
Wadi Hannan
membentangkan sejadah, dan menunaikan solat asar. Lepas wirid ringkas, dia
lihat Dahlia bagaikan sedang menyembunyikan sesuatu dalam dadanya. Matanya
asyik memandang buah mata kucing dalam bakul, tidak lepas-lepas.
Apa yang tidak kena,
sayang?
“Kenapa diam saja
dari tadi?” soal Wadi, setelah ‘bunga mawar’ berlalu, dia harus beri perhatian
pada ‘bunga dahlia’ pula! Setiap petang dia disibukkan dengan pelbagai urusan
perempuan-perempuan yang dia sayangi. Itu belum lagi jumpa mama hari ini, kalau
tidak lagi panjang ceritanya.
Wajah Dahlia dia
pandang dengan kasih sayang. Dahlia baru menjerang air untuk dibuat teh minum
petang. Seperti selalu, selepas Mawar bertemu neneknya, mereka berdua akan ada
masa untuk berdua-dua; sambil bertukar cerita fasal siangnya... atau buku-buku
yang mereka sedang baca.
“Teh apa hari ini?”
“Teh mawarlah!”
Sama-sama berbahagi
senyum.
Teh dengan rendaman
bunga mawar yang segar memang menjadi kesukaan suami isteri ini. Kecintaan
mereka pada mawar Inggeris membuat mereka memilih nama Mawar pada anak sulung
mereka.
Teh Bunga Mawar
peribadi bunga yang lembut
tiada yang harum seharum mawar Inggeris
kembang cantik yang membawa duri
keindahan itu memberi kekuatan
“Kenapa?” soal Wadi
lagi.
Kadang-kadang dia
jadi rindu pada Dahlia yang dulu. Dahlia yang dia kenal waktu sekolah, ataupun
setidak-tidaknya Dahlia yang baru pulang dari Australia selepas lama tinggal di
negeri orang. Kadang-kadang dia tidak mahu isterinya itu jadi pendiam bagaikan
burung ketilang yang disihir menjadi batu begini.
Namun apabila
kawan-kawan lain bercerita fasal isteri mereka yang suka berleter, mengongkong
dan suka mengarah, dia jadi bersyukur dengan Dahlianya. Si Dahlia yang dia ada
sekarang adalah ‘bunga’ yang menenangkan. Diamnya membuat Wadi sentiasa
berhati-hati dengan kata-kata dan perlakuan agar Wadi tidak menggores hati
Dahlia sebagaimana dia pernah menggores dagu Dahlia.
“Kalau Dahlia tanya,
boleh?” Senyum manis Dahlia tetap buat Wadi jadi semakin berdebar-debar. Dahlia
memasukkan kelopak mawar ke dalam teh yang harumnya sudah memenuhi ruang bilik
mereka.
Wadi mengangguk. Dia
membawa skon dengan krim putar, serta jem raspberi ke beranda juliet yang menghadap Ladang Teh
Sutera-Timur milik mereka.
“Mentega?”
“Masih dalam peti
sejuk.” Kata Dahlia, walaupun dia tahu suhu di Tanah Tinggi Cameron beberapa
minggu ini tidak memerlukan mereka menyimpan mentega dalam peti sejuk – tempat
mentega tetap diam di dalamnya.
Wadi keluar dari
kamar ke ruang dapur kecil di hujung lorong. Suara Mawar sedang menyanyi dengan
Nenek Juharah membuat hati Wadi senang. Tapi kan, wahai anakku sayang,
janganlah besar nanti Mawar hendak jadi penyanyi la pula ya. Jadilah anak yang
solehah ya, anak yang menenangkan hati ibu dan ayah!
Hati Wadi masih
tersangkut pada pertanyaan Dahlia tadi, ‘boleh’. Kenapa tidak boleh, siapa yang
larang Dahlia bertanya apa-apa pada abang. Hatinya diburu sedikit resah. Apa?
Dan kenapa, Dahlia?
Dahlia sudah di
beranda yang bertahun-tahun dahulu menjadi tempat arwah ayah dan arwah nay menghabiskan waktu pagi dan petang
sambil melihat orang memetik daun teh atau menyaksikan alam bertukar warna.
“Apa yang hendak
ditanya?”
Bau teh mawar telah
menambah segar pada ruang atas rumah tiga tingkat ini, yang mana tingkat bawah
dan tengah dijadikan rumah peranginan siap dengan restoran kecil.
“Abang, kita dah
kahwin empat tahun... sudah lama Dahlia hendak tanya fasal ni.” Mata Wadi dia
tenung dalam-dalam, walaupun terasa segan untuk berbuat begitu... tapi dia mahu
kepastian. Dia tidak mahu Wadi main-main sewaktu menjawab soalannya.
Bukankah mata itu
jendela hati, dan mata itu tidak dapat bersembunyi daripada menjawab persoalan
hati dengan jujur?
Peristiwa lebih 15
tahun dahulu itu belum pernah ada jawapannya.
“Macam besar sangat
persoalannya. Jangan pula soalan Dahlia nanti berkaitan dengan perkara,
‘bolehkah Dahlia tinggalkan abang dan kembali ke Canberra’.”
Kalau begitu,
jawapannya ialah tidak boleh ya Dahlia! Abang mati beragan nanti, macam
Zainuddin dalam Tenggelamnya Kapal van
der Wijck tulisan Pak Hamka tu.
“Eh, mana ada!
Insya-Allah Dahlia akan setia di sisi abang, kecuali Allah ambil nyawa Dahlia
dulu.” Jawab Dahlia dengan tenang.
“Jangan buat abang
takut, Dahlia.” Wadi, meletakkan cawan teh dan memaut tangan isterinya
kejap-kejap. Isterinya yang baru tiga bulan berbadan dua itu memandang Wadi
sekilas. Sekejap itu juga, fikiran Wadi berlegar pada Dahlia yang hanya ada
sebelah ginjal. Sebelah lagi sudah Dahlia hadiahkan pada adik lelakinya, Abdul
Rahman.
Jangan tinggalkan
abang, Dahlia. Abang baru sahaja tahu erti bahagia itu adalah apabila berada
dekat denganmu Dahlia!!!
“Betul. Nay tinggalkan ayah pada usia muda.”
“Boleh dak, kita
cakap benda yang ceria-ceria petang ini. Mawar tu, gembira sahaja dia sepanjang
mata. Sampai sekarang asyik menyanyi sahaja.” Pintas Wadi tatkala burung
layang-layang melintas di depan mereka. Awan bersembunyi di sebalik bukit-bukit
teh.
Kelmarin Wadi ajar
Mawar menyanyi Lagu Tiga Kupang, dan
sejak itu, itu sahaja yang dia hafal. Biarpun bercakap pun tidak fasih lagi...
bukan tidak fasih, tidak tahu lebih tepat tetapi lagu Burung Ketilang pun dia tahu. Bunyinya mmmm, mmmm, sahaja...
tetapi iramanya memang lagu itulah, sebab ada lalalalala!
“Soalan tadi?” Wadi
bertanya lagi petang itu.
“Ingat kek cawan yang
pernah Dahlia beri dulu?”
“Ya, kenapa?”
“Betulkah adik tu tak
bagi pada abang tengah hari itu? Betulkah atasnya cair?”
Wadi sudah tersenyum,
itu sahaja yang dia ingin tanya sejak bertahun-tahun?
Wadi menggeleng.
“Jadi abang
nampaklah, apa mesej Dahlia – I’m sorry!”
“Ya, tapi abang tetap
suka mesej... I love you! Tu lagi.”
“Tak baik tau, sudah
lama Dahlia buruk sangka pada adik tu. Berdosa. Tadi Dahlia jumpa dia di
pasar,” kata Dahlia. Adik tu tegur dia dan kenalkan Dahlia dengan isteri dan
anak-anaknya.
Wadi cuma ketawa.
“Tapi, bukankah
Dahlia juga suka dengan faks abang tu juga?” Mata Wadi mencerlang nakal. Dahlia
pula sudah melarikan pandang ke arah kebun teh. Malas hendak jawab soalan Wadi
Hannan.
Diam.
Senyap.
Kelu.
Wadi tidak tahu bila
dia mula jatuh hati pada Dahlia, tetapi sewaktu dia berhujan itu, hatinya
tersentuh kala dia sampai di hujung jalan rumah Megat Qais ini, seorang pekerja
Dahlia menahannya dan mengajak dia minum teh panas di pondok pekerja.
“Tuan, Cik Dahlia
minta tuan minum teh dahulu, panaskan badan. Salinlah pakaian bersih, ini baju
ayah Cik Dahlia. Biar isteri saya basuh pakaian basah tuan, esok saya akan
hantar ke pejabat tuan.” Pak Sayuti, orang kuat keluarga Dahlia mempelawa Wadi
sungguh-sungguh. Ikhlas.
Walaupun Dahlia tu nampak
garang-garang begitu, tetapi dia tetap mempedulikan tentang kebajikan orang –
walaupun Wadi ini musuh ketatnya waktu itu. Itulah peribadi Dahlia yang Wadi
senangi. Namun Wadi memilih untuk terus pulang petang itu. Kata-kata Dahlia
petang itu membuat Wadi rasa perempuan itu tidak adil menilainya.
“Dahlia...”
“Hemmm. Apa?”
“Abang pun ada soalan
hendak ditanya. Waktu Dahlia suruh Pak Sayuti pelawa abang minum, apakah Dahlia
sudah menyukai abang saat itu. Cinta?”
Walaupun Dahlia cuma
diam. Wadi sudah dapat membuat kesimpulan. Diam Dahlia itu membuat Wadi tidak
ingin bertanya lagi, sebab dia sudah tahu jawapan isterinya.
Setahun dua lagi dia
akan bertanya lagi, mungkin waktu itu Dahlia sudah kurang malunya.
Sebaik sahaja
menghabiskan teh, Mawar sudah menerpa ke arah mereka. Sejak Mawar boleh
berjalan, jarang pintu ke beranda ini dibiarkan terbuka. Namun Wadi telah
menukar pintu bilik mereka dengan jenis kaca.
Lalu, tanpa membuka
pintu – beranda dan seisi panorama terbentang di depan mereka sepanjang hari.
Yang
Disayangi,
matamu
telah berbisik
dan...
tanpa
perlu bersuara
kita
sudah mengikat janji setia...
Yang
Menyayangi.
Salam Su, ada sambungan kisah Mawar ke nanti?
ReplyDeleteNorazmi,
DeleteInsya-Allah ada :)Doakan kaksu ya.
👍👍👍
Deletewah..rindunya dekat putri dahlia dan wadi hannan.. dan kak su, ceritalah lagi pasal kesederhanaan sibur-sibur di tanah rata.. ada orang di pantai timur ni tertarik betul pada sederhananya sang sibur-sibur.. =) -Amira
ReplyDeleteSaya da cari mahadewi tp Blum ad lg kat kdai buku hmmm
ReplyDeleteSaya da cari mahadewi tp Blum ad lg kat kdai buku hmmm
ReplyDelete