Thursday 7 July 2016

MAHADEWI II - Panggil Saya Mawar

Senyuman Dahlia adalah embun yang mendinginkan, dan... abang ialah gunung yang terbakar itu! ~ Yang Merindu

WADI, benarkah senyuman Dahlia embun yang mendinginkan?
Subhanallah! ulangnya berulang kali.
Parut hodoh itu telah lama hilang, dan sejarah mereka bergaduh waktu sekolah itu telah menjadi kenangan rupanya. Ya, kenangan yang manis.
Bilik air tetap riuh sedari tadi. Yang Dahlia dengar saat ini sekadar huhuhu, hahaha, lalala, yayaya... dan diakhiri dengan dungdungdung....
Wadi mengulangi korus sekali lagi sebelum menyanyi secara solo. Kaki karaoke barangkali Wadi ni zaman dia bujang dulu ni. Sedap pula suaranya...

Raja dalam rumah
Buat kira-kira
Suri dalam dapur
Makan roti gula, hei!

Dayang tepi kolam
Mahu jemur padi
Datang burung hitam
Pagut batang hidung

Hidung… hidung… hidung...

Dan Mawar ‘menyanyi’ sekali lagi...
Rajin sungguh ‘raja dalam rumah buat kira-kira’, kan! kata hati kecil Dahlia kala mendengar suara Wadi. Dan... rajin sungguh dia melayan si kecil.
Setengah jam kemudian, kedua-dua insan yang Dahlia cinta itu sudah siap memandang cermin. Wadi menyisir rambut anaknya walaupun Si Tasneem, sepupu Dahlia itu sudah berkali-kali melarang Wadi berbuat begitu. Rambut yang basah biar ia kering sendiri, Wadi. Si pakar tentang rambut itu memang suka sangat memberi nasihat fasal kecantikan. Tetapi Wadi tetap Wadi, dia selalu sahaja tidak sabar melihat Mawar cantik seperti kelopak bunga. Kasihan anak ayah, kecut jari-jari semua kerana lama bermain air tadi. Dia menggosok tangan si anak, supaya rasa sejuk dan kecut itu cepat berlalu. Dia peluk sekejap supaya panas badannya dipindahkan ke anak dengan cepat.
Mujurlah Mawar bukannya jenis yang mudah demam, biar bermain hujan atau lama bermain air, alhamdulillah, sihat sahaja anak ayah itu.

“Sudah comel anak ayah ni. Boleh dah pergi jumpa nenek ya, sampaikan salam ayah dan ibu pada nenek. Assalamualaikum.” Wadi melepaskan puterinya berlari ke kamar Puan Juharah selepas dia mencium anaknya dua kali.
“Cantik!” kata Wadi, perlahan sangat. Tetapi sempat ditangkap dek telinga Dahlia. Tak malukan, puji anak sendiri Wadi ni! Rambut Mawar keriting betul, kalau sudah kering nanti. Wajahnya saling tak tumpah seperti Wadi sewaktu kecil. Begitulah Puan Juharah, ibu Wadi menghebah-hebahkan pada orang yang memuji rambut Mawar.
Ya, mana tidak bangga si nenek apabila cucunya mengikut wajah anak lelakinya yang ‘cantik segak’ bukannya sebelah si ibu yang tidak secantik mana. Tapi kalau datang bab budi bahasa, dia berharap si cucunya ini menurun menantunya Dahlia itu. Sungguh pentingkan diri sendiri kan, Nenek Juharah ini, kan!!!
Betullah kata orang, cantik itu tempatnya di hati – Dahlia itu nampak cantik kerana peribadinya yang baik itu... begitu sang nenek membuat kesimpulan tentang menantunya itu. Mengenali Putri Dahlia bertahun-tahun dia bersyukur Dahlia menjadi menantunya bukannya perempuan lain.
Dia pernah menghalang Dahlia daripada memilih Wadi kerana dia kasihan anak Megat Qais itu jika bersuamikan Wadi anak lelakinya yang suka berfoya-foya tu.
Ya itu cerita 15 tahun dahulu!
Wadi Hannan membentangkan sejadah, dan menunaikan solat asar. Lepas wirid ringkas, dia lihat Dahlia bagaikan sedang menyembunyikan sesuatu dalam dadanya. Matanya asyik memandang buah mata kucing dalam bakul, tidak lepas-lepas.
Apa yang tidak kena, sayang?
“Kenapa diam saja dari tadi?” soal Wadi, setelah ‘bunga mawar’ berlalu, dia harus beri perhatian pada ‘bunga dahlia’ pula! Setiap petang dia disibukkan dengan pelbagai urusan perempuan-perempuan yang dia sayangi. Itu belum lagi jumpa mama hari ini, kalau tidak lagi panjang ceritanya.
Wajah Dahlia dia pandang dengan kasih sayang. Dahlia baru menjerang air untuk dibuat teh minum petang. Seperti selalu, selepas Mawar bertemu neneknya, mereka berdua akan ada masa untuk berdua-dua; sambil bertukar cerita fasal siangnya... atau buku-buku yang mereka sedang baca.
“Teh apa hari ini?”
“Teh mawarlah!”
Sama-sama berbahagi senyum.
Teh dengan rendaman bunga mawar yang segar memang menjadi kesukaan suami isteri ini. Kecintaan mereka pada mawar Inggeris membuat mereka memilih nama Mawar pada anak sulung mereka.

Teh Bunga Mawar



peribadi bunga yang lembut
tiada yang harum seharum mawar Inggeris
kembang cantik yang membawa duri
keindahan itu memberi kekuatan

“Kenapa?” soal Wadi lagi.
Kadang-kadang dia jadi rindu pada Dahlia yang dulu. Dahlia yang dia kenal waktu sekolah, ataupun setidak-tidaknya Dahlia yang baru pulang dari Australia selepas lama tinggal di negeri orang. Kadang-kadang dia tidak mahu isterinya itu jadi pendiam bagaikan burung ketilang yang disihir menjadi batu begini.
Namun apabila kawan-kawan lain bercerita fasal isteri mereka yang suka berleter, mengongkong dan suka mengarah, dia jadi bersyukur dengan Dahlianya. Si Dahlia yang dia ada sekarang adalah ‘bunga’ yang menenangkan. Diamnya membuat Wadi sentiasa berhati-hati dengan kata-kata dan perlakuan agar Wadi tidak menggores hati Dahlia sebagaimana dia pernah menggores dagu Dahlia.
“Kalau Dahlia tanya, boleh?” Senyum manis Dahlia tetap buat Wadi jadi semakin berdebar-debar. Dahlia memasukkan kelopak mawar ke dalam teh yang harumnya sudah memenuhi ruang bilik mereka.
Wadi mengangguk. Dia membawa skon dengan krim putar, serta jem raspberi ke beranda juliet yang menghadap Ladang Teh Sutera-Timur milik mereka.
“Mentega?”
“Masih dalam peti sejuk.” Kata Dahlia, walaupun dia tahu suhu di Tanah Tinggi Cameron beberapa minggu ini tidak memerlukan mereka menyimpan mentega dalam peti sejuk – tempat mentega tetap diam di dalamnya.
Wadi keluar dari kamar ke ruang dapur kecil di hujung lorong. Suara Mawar sedang menyanyi dengan Nenek Juharah membuat hati Wadi senang. Tapi kan, wahai anakku sayang, janganlah besar nanti Mawar hendak jadi penyanyi la pula ya. Jadilah anak yang solehah ya, anak yang menenangkan hati ibu dan ayah!
Hati Wadi masih tersangkut pada pertanyaan Dahlia tadi, ‘boleh’. Kenapa tidak boleh, siapa yang larang Dahlia bertanya apa-apa pada abang. Hatinya diburu sedikit resah. Apa? Dan kenapa, Dahlia?
Dahlia sudah di beranda yang bertahun-tahun dahulu menjadi tempat arwah ayah dan arwah nay menghabiskan waktu pagi dan petang sambil melihat orang memetik daun teh atau menyaksikan alam bertukar warna.
“Apa yang hendak ditanya?”
Bau teh mawar telah menambah segar pada ruang atas rumah tiga tingkat ini, yang mana tingkat bawah dan tengah dijadikan rumah peranginan siap dengan restoran kecil.
“Abang, kita dah kahwin empat tahun... sudah lama Dahlia hendak tanya fasal ni.” Mata Wadi dia tenung dalam-dalam, walaupun terasa segan untuk berbuat begitu... tapi dia mahu kepastian. Dia tidak mahu Wadi main-main sewaktu menjawab soalannya.
Bukankah mata itu jendela hati, dan mata itu tidak dapat bersembunyi daripada menjawab persoalan hati dengan jujur?
Peristiwa lebih 15 tahun dahulu itu belum pernah ada jawapannya.
“Macam besar sangat persoalannya. Jangan pula soalan Dahlia nanti berkaitan dengan perkara, ‘bolehkah Dahlia tinggalkan abang dan kembali ke Canberra’.”
Kalau begitu, jawapannya ialah tidak boleh ya Dahlia! Abang mati beragan nanti, macam Zainuddin dalam Tenggelamnya Kapal van der Wijck tulisan Pak Hamka tu.
“Eh, mana ada! Insya-Allah Dahlia akan setia di sisi abang, kecuali Allah ambil nyawa Dahlia dulu.” Jawab Dahlia dengan tenang.
“Jangan buat abang takut, Dahlia.” Wadi, meletakkan cawan teh dan memaut tangan isterinya kejap-kejap. Isterinya yang baru tiga bulan berbadan dua itu memandang Wadi sekilas. Sekejap itu juga, fikiran Wadi berlegar pada Dahlia yang hanya ada sebelah ginjal. Sebelah lagi sudah Dahlia hadiahkan pada adik lelakinya, Abdul Rahman.
Jangan tinggalkan abang, Dahlia. Abang baru sahaja tahu erti bahagia itu adalah apabila berada dekat denganmu Dahlia!!!
“Betul. Nay tinggalkan ayah pada usia muda.”
“Boleh dak, kita cakap benda yang ceria-ceria petang ini. Mawar tu, gembira sahaja dia sepanjang mata. Sampai sekarang asyik menyanyi sahaja.” Pintas Wadi tatkala burung layang-layang melintas di depan mereka. Awan bersembunyi di sebalik bukit-bukit teh.
Kelmarin Wadi ajar Mawar menyanyi Lagu Tiga Kupang, dan sejak itu, itu sahaja yang dia hafal. Biarpun bercakap pun tidak fasih lagi... bukan tidak fasih, tidak tahu lebih tepat tetapi lagu Burung Ketilang pun dia tahu. Bunyinya mmmm, mmmm, sahaja... tetapi iramanya memang lagu itulah, sebab ada lalalalala!

“Soalan tadi?” Wadi bertanya lagi petang itu.
“Ingat kek cawan yang pernah Dahlia beri dulu?”
“Ya, kenapa?”
“Betulkah adik tu tak bagi pada abang tengah hari itu? Betulkah atasnya cair?”
Wadi sudah tersenyum, itu sahaja yang dia ingin tanya sejak bertahun-tahun?
Wadi menggeleng.
“Jadi abang nampaklah, apa mesej Dahlia – I’m sorry!”
“Ya, tapi abang tetap suka mesej... I love you! Tu lagi.”
“Tak baik tau, sudah lama Dahlia buruk sangka pada adik tu. Berdosa. Tadi Dahlia jumpa dia di pasar,” kata Dahlia. Adik tu tegur dia dan kenalkan Dahlia dengan isteri dan anak-anaknya.
Wadi cuma ketawa.
“Tapi, bukankah Dahlia juga suka dengan faks abang tu juga?” Mata Wadi mencerlang nakal. Dahlia pula sudah melarikan pandang ke arah kebun teh. Malas hendak jawab soalan Wadi Hannan.
Diam.
Senyap.
Kelu.
Wadi tidak tahu bila dia mula jatuh hati pada Dahlia, tetapi sewaktu dia berhujan itu, hatinya tersentuh kala dia sampai di hujung jalan rumah Megat Qais ini, seorang pekerja Dahlia menahannya dan mengajak dia minum teh panas di pondok pekerja.
“Tuan, Cik Dahlia minta tuan minum teh dahulu, panaskan badan. Salinlah pakaian bersih, ini baju ayah Cik Dahlia. Biar isteri saya basuh pakaian basah tuan, esok saya akan hantar ke pejabat tuan.” Pak Sayuti, orang kuat keluarga Dahlia mempelawa Wadi sungguh-sungguh. Ikhlas.
Walaupun Dahlia tu nampak garang-garang begitu, tetapi dia tetap mempedulikan tentang kebajikan orang – walaupun Wadi ini musuh ketatnya waktu itu. Itulah peribadi Dahlia yang Wadi senangi. Namun Wadi memilih untuk terus pulang petang itu. Kata-kata Dahlia petang itu membuat Wadi rasa perempuan itu tidak adil menilainya.
“Dahlia...”
Hemmm. Apa?”
“Abang pun ada soalan hendak ditanya. Waktu Dahlia suruh Pak Sayuti pelawa abang minum, apakah Dahlia sudah menyukai abang saat itu. Cinta?”
Walaupun Dahlia cuma diam. Wadi sudah dapat membuat kesimpulan. Diam Dahlia itu membuat Wadi tidak ingin bertanya lagi, sebab dia sudah tahu jawapan isterinya.
Setahun dua lagi dia akan bertanya lagi, mungkin waktu itu Dahlia sudah kurang malunya.
Sebaik sahaja menghabiskan teh, Mawar sudah menerpa ke arah mereka. Sejak Mawar boleh berjalan, jarang pintu ke beranda ini dibiarkan terbuka. Namun Wadi telah menukar pintu bilik mereka dengan jenis kaca.
Lalu, tanpa membuka pintu – beranda dan seisi panorama terbentang di depan mereka sepanjang hari.

Yang Disayangi,

matamu telah berbisik
dan...
tanpa perlu bersuara
kita sudah mengikat janji setia...

Yang Menyayangi.

6 comments:

  1. Salam Su, ada sambungan kisah Mawar ke nanti?

    ReplyDelete
  2. wah..rindunya dekat putri dahlia dan wadi hannan.. dan kak su, ceritalah lagi pasal kesederhanaan sibur-sibur di tanah rata.. ada orang di pantai timur ni tertarik betul pada sederhananya sang sibur-sibur.. =) -Amira

    ReplyDelete
  3. Saya da cari mahadewi tp Blum ad lg kat kdai buku hmmm

    ReplyDelete
  4. Saya da cari mahadewi tp Blum ad lg kat kdai buku hmmm

    ReplyDelete