masa tentunya ukuran rindu
tapi waktu ialah pemisah cinta
“NUHA... Alang hanya mahu membina rumah kecil untuk kita, dan tua bersama-sama dengan Nuha di sini.” Itu yang Alang pernah janjikan hampir empat tahun dulu sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Permatang Nyiur ini.
Pernikahan dengan Alang atau lebih tepat lagi Muzzammil Muadz ini tidak pernah masuk dalam perancangan hidupnya. Namun begitulah yang terjadi. Sebaik sahaja jatuh kasih pada anak teruna Mak Cik Raja Kamariah ini, Nuha sudah tidak teragak-agak untuk menamatkan zaman solonya dalam usia muda.
Entahlah jampi serapah apa Alang pakai yang membuat Nuha melupakan kata-katanya, dia rela dihantar bertugas ke Antartika la daripada kena berkahwin dengan Alang Rebus Tak Empuk itu; dia rela tak berkahwin seumur la daripada memilih Si Mamat Sarang Tebuan.
Macam-macam nama julukan dia ‘anugerah’ pada musuh ketatnya. Alih-alih itulah pilihan hatinya. Dalam usia belum 21 tahun dia sudah bergelar isteri. Konon dia benci Alang!!! Benci sungguh-sungguh!Porah!
Sekarang ini dalam hati diberi gelar elok-elok sahaja untuk suaminya yang hitam merelit dan rambut gondrong tu. Tapi sejak dua tiga hari ini Muzzammil Muadz dah kacak sikit sebab rambut bergunting kemas. Itulah... baru boleh nampak dahinya itu! Alang, Alang, suka sungguh dia tak nak ‘dobi’ diri sendiri. Kan dah smart, saja tau... suka bagi abah, emak dan Nuha berleter dulu baru hendak berubah!
Nuha jeling sekilas ke arah si dia yang saat ini hati Nuha berbicara tentangnya...
Ya, Si Penyair Cinta ini; dengannya, Nuha melupakan cita-cita. Hidup yang selesa dan bahagia, beberapa tahun ini membuat Nuha tidak perlu berfikir banyak tentang hal lain, kecuali fasal kerjanya sahaja. Emak dan ayah mertuanya baik sekali, dan ipar duai Nuha menerimanya dengan tulus. Dia tidak kurang apa-apa di kampung kecil dekat dengan bendang itu. Lalu apa lagi yang diharapkan oleh seorang perempuan sepertinya, selain hidup di sisi orang yang kita sayang?
Tapi, sebaliknya yang terjadi pada Nuha pula tiba-tiba sahaja hati berkata yang lain pula. Kononnya, dia ingin mempertingkatkan kemahiran diri: memiliki ijazah menjadi cita-cita baharu anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Namun mampukah Nuha, sebab dia ada penyakit yang sukar diubati!
Ya, sakit rindu!
Tengoklah dalam perjalanan semalam dari KLIA pun dia sudah mulai rindu kampung yang permai itu. Hari ini, di sinilah mereka. Hobart. Sepanjang berkereta dari Hobart International Airport tadi, Nuha lihat sisa-sisa salji masih ada dipuncak bukit. Macam yang Alang kata: September ialah waktu peralihan musim. Kalau mereka datang bulan November cuaca lebih panas, mujur mereka tukar fikiran datang lebih awal. Yalah, musim panas di Kedah pun mereka sudah merasainy. Landskap antara musim bunga dan musim luruh berbeza serta indah sekali. Ya, lain kali kalau ada rezeki, kita datang lagi! Begitu Alang berjanji sewaktu mereka menunggu waktu berlepas dari Melbourne tadi.
Asalkan bercuti dengan Alang, Nuha tidak kisah bercuti dalam musim apa. Ya, musim hujan batu pun boleh!
“Hobart tidak jauh dari lapangan terbang ini.” Kata Alang ketika mereka beratur menunggu giliran ambil teksi.
Ya, siapa sangka dia dapat bersama Alang ke sini. Tengok tu, Alang senyum sahaja sejak tadi, gaya orang dah lama tak balik ke kampung sendiri. Nuha tidak mahu mengganggu kesenangan Alang dengan bertanya soalan-soalan yang tidak begitu penting. Kata Alang semalam, Nabil sekeluarga balik berhari raya ke Terengganu dan masih di sana. Tapi Nuha pernah jumpa Nabil dulu, sewaktu majlis di rumah Nuha, Nabil yang menjadi pengapit Alang.
Bagaimanapun...
Inilah kali pertama dia akan berjumpa dengan abang kepada Kak Raniya. Kata Alang, Rafael pun seperti Alang juga merajuk dengan walid dan umi dia lalu memilih untuk menetap di Hobart. Kalau Nuha ada sesiapa yang baik-baik, bolehlah kita temukan mereka berdua; mana tahu ada jodoh.
Setakat yang Nuha kenal dia melalui cerita-cerita Alang, Rafael ini sahabat yang baik dan tidak pernah berkira duit ringgit. Dia juga sering mengirim macam-macam untuk anak saudaranya Ku Chik. Pemurahlah juga.
Tapi, di Kampung Permatang Nyiur atau di Kota Kuala Muda keseluruhannya itu, ada sesiapakah yang layak untuk disandingkan dengan Rafael Hamdi Wafa’ bin Haji Ghazi tu? Nama dia yang panjang sebatu tu pun, dah tak terlawan dengan nama-nama gadis di kampung mereka. Tambah pula, walid Rafael dulu bekas diplomat. Ada gelar Tan Sri, biarpun baik Kak Raniya mahupun Rafael tidak pernah menggunakannya.
Kalau hendak cari kawan-kawan di sekolah kejururawatannya dulu, siapa yang mahu hendak berkawan dengan lelaki yang suka belayar ini. Siap tidak mahu balik, dan hendak tinggal terus di negeri orang begini. Pandai-pandai ajalah Si Alang ini hendak tolong jodohkan oranglah pula.
Nuha, kalau kita sudah berkahwin, kita juga mahukan orang yang kita sayang ada seseorang yang bersedia menemaninya. Begitu Alang berkata waktu itu. Alang bukan apa, kalau boleh tak mahu ‘komoditi’ kita jatuh ke tangan asing.
Waktu itu, kebetulan Dr. Faisal pun ada, dan suami Kak Raniya ketawa macam tak cukup mulut. Cerita bertahun dulu itu, buat Nuha tersenyum dan ingin melihat ‘komoditi’ yang dimaksudkan oleh Alang hari ini. Mana Alang tak mengusik begitu, sebab waktu itu Nabil hantar jemputan. Bekas rakan serumah Alang itu akan berkahwin dengan orang putih – Puan Jean Austen tu. Dr. Engku Faisal yang hari itu datang melawat Ku Chik turut Alang ajak bersekongkol untuk carikan jodoh untuk abang ipar Faisal tu.
Alang, tolonglah...! Jangan mengarut, boleh? ‘Komoditi’ la. ‘Aset’ la.
“Kita makan di rumah Rafael sahaja. Jimat.” Kata Alang apabila menghulurkan donat untuk Nuha alas perut dulu sebelum sampai ke destinasi. Nuha mencapai donat klasik itu dan mengunyah perlahan-lahan sambil matanya dilarikan ke luar jendela teksi.
Entah masak apa pula Rafael tu. Jangan masak benda pelik-pelik sudah la. Ini ada emak kirimkan ketupat dan rendang untuk anak angkatnya yang ini. Sebab itu, mereka tidak boleh berlama-lama di Melbourne tadi. Sebaik sahaja sampai mereka terus ambil pesawat ke Hobart ini. Bimbang makanan yang dibekalkan emak nanti basi, dan suasana hari raya sudah hilang serinya. Kata Alang, balik nanti kita singgah di Melbourne semalam dua.
“Melbourne pun cantik, nanti boleh tangkap gambar dan menunjuk dekat Baya. Dulu waktu dia datang, Baya dengan emak tak sempat singgah Melbourne!” Alang memberi cadangan untuk ‘menyakiti’ hati adiknya. Dengan sibuk belajar dan ada dua orang anak untuk diuruskan, Baya sudah terikat tak boleh ke mana-mana lagi. Apatah lagi dia tu isteri jarak jauh. Hujung minggu baru boleh jumpa si suami. Tambahan pula suaminya tidak suka bercuti ke mana-mana. Jenis suka duduk rumah. Jenis tak makan masakan di kedai. Jenis suka jimat cermat untuk kumpul harta.
Entah sungguh atau tidak kata-kata Alang ni, bunyinya sarkastik sedikit!
Penatlah Baya atur tangan kuku hendak uruskan sang suami. Tapi yalah, apabila kita kahwin dengan cinta hati kita, apa pun kita sanggup, kan!
Suami jarak jauh?
Nuha nanti macam manalah pula! soal hati kecil Alang, dia mengerling ke arah Nuha yang sedang minum air mineral dari botol kecil.
Nuha pun sama panik juga, dia sepatutnya mendaftar Ahad ini, dan kemudian melalui Minggu Haluan Siswa. Kata Alang, Minggu Orientasi untuk pelajar lepasan SPM ke, STPM ke, Matrikulasi ke, Asasi ke, Diploma ke. Untuk orang pernah kerja dekat lima tahun macam Nuha ini, tak payah hendak berminggu orientasi – nanti Abang AJK-O mana sangkut pula dengan isteri Alang ini.
Tak senonoh la Alang ni, awal-awal lagi ajar Nuha ponteng aktiviti universiti. Mujur dia tidak terikat dengan kerjanya, dia diberi cuti penuh tetapi belajar dengan biaya sendiri. Kalau tidak mampus kena tindakan disiplin. Suka-suka hati sahaja tak mendaftar lagi!
Konon, nanti kena mengurat dengan Abang AJK-O!
Eleh, sebenarnya Alang dah tak ada hari lain hendak bawa Nuha ke Hobart! Sebab sebaik sahaja Nuha mula belajar, dia pun akan sibuk dengan bendang dan kilang padi abah. Alang selalu sahaja buat Nuha rasa istimewa. Dan kali ini dia buat macam la Nuha ni cantik jelita sampai orang sekali pandang pun sudah hendak jatuh hati.
Baguslah Alang ni...
“Nuha, orang kalau hendak jatuh hati bukan sebab orang tu cantik jelita sahaja. Ada macam-macam sebab, tau!” balasnya hari itu.
“Tapi... Alang tak pernah lagi cakap, sebab apa Alang jatuh hati ke Nuha. Kalaulah bukan sebab Nuha ni cantik? Jadi, sebabnya apa?” soal Nuha. Sebenarnya, dia pun malu untuk bertanya begitu. Tapi dia sedang ambil kesempatan sahaja untuk mengorek rasa Alang. Dia pun hairan juga kenapa Alang boleh pilih dia. Nuha bukan gadis sopan santun yang cakap elok-elok dengan Alang. Mereka ribut terus!
Alang cuma diam. Alang yang periang dan suka mengusik itu boleh jadi pendiam dengan soalan isterinya.
Hmmm...
Ya, apa yang membuat Alang jatuh hati pada Nuha yang tak ada apa-apa keistimewaan itu? Soalan itu tetap Nuha tidak dapat jawapannya sampai sudah. Alang pura-pura sibuk hendak pergi kedai beli barang la pula. Lepas itu hendak pergi kira guni beras di gudang la. Alang, Alang, ada sahaja alasan hendak mengelat.
Akhirnya, teksi membawa mereka dari Strachan St, Cambridge itu berhenti di belakang rumah Rafael, teman baik Alang yang sudah dianggap saudara itu. Rumahnya, cuma 20 kilometer dari arah timur laut dari lapangan terbang. Dekat sahaja pun. Tapi, fikiran Nuha sudah terbang ke sana ke mari lebih jauh daripada perjalanannya.
Sebaik sahaja membuka pintu pagar, yang pertama Nuha jumpa sebelum melangkah ke pintu rumah Rafael, tentulah pohon ceri tempat Raja Kamariah bakar surat-surat cintanya pada ayah Muzzammil Muadz. Cerita itu menjadi rahsia antara Mak Cik Raja Kamariah dengan pokok ceri itu sahaja.
Masya-Allah.
Begitu caranya Mak Cik Raja menjaga hubungannya dengan Haji Ahmad Yatim. Dia tidak mahu melukakan hati suaminya dengan pesona zaman yang sudah berlalu! Lalu menyimpan surat cinta pun sudah dianggap salah dan tak setia. Padahal, sewaktu menulis surat-surat itu, dia bukannya Raja Kamariah yang menjadi isteri Haji Ahmad Yatim sekarang ini! Dia masih perawan yang boleh lemas dengan kata-kata indah tulisan kekasihnya.
Ya, waktu adalah pemisah cinta!
tq kak su....
ReplyDeleteSama-sama kasih, jom la teman Mak Cik Raja anyam daun nyour buat ketupat jawi.
ReplyDeleteBest!
ReplyDeleteTerima kasih singgah rumah Mak Cik Raja, Che Min.
DeletePena masih berbisa Su..👍👍👍
ReplyDeleteNorazmi, ini petikan daripada cerita baharu yang kaksu sambung :) insya-Allah.
DeleteWah! X sabarnya nk tnggu buku baru ;-)
DeleteDoakan ya Nisa :)
DeleteSu, teruskan menulis..ramai penyokong su nih..InsyaAllah dipermudahkan
DeleteRindunya Hobart! Walaupun belum sampai Hobart lagi. Hahaha. Terima kasih Kaksu sambung kisah Alang-Nuha ni :)
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
DeleteKaksu pun tak pernah pergi Naziatul, dulu tu dan pelan dengan adik, lepas tu Encik sakit, sekarang memang tak pergi mana daha - jimat cermat.
DeleteHuhu. Rindunyaa
ReplyDeleteMutmainnah, :D
Delete